Masyarakat
perlu tahu pekerjaan di taska dan tadika merupakan karier yang didominasi oleh
wanita, disebabkan mengasuh kanak-kanak ini merupakan pekerjaan tradisional kaum wanita. Disebabkan ‘token’ itu, majikan
lebih cenderung memilih wanita untuk bekerja di taska dan tadika sehinggakan golongan
lelaki juga tidak ada keyakinan untuk menceburi bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak kerana masyarakat memandang bekerja di taska dan tadika
adalah pekerjaan untuk wanita sahaja. Jadinya, wanita mempunyai peratusan yang tinggi untuk
diambil bekerja di taska dan tadika.
Apabila
difikirkan secara kritis, sekiranya golongan lelaki yang mendominasi bekerja di
taska dan tadika, sudah pasti kritikan tajam seperti jarum dari langit
dijatuhkan di atas kepala mereka kerana dianggap tidak sesuai dan melanggar
sistem yang sudah lama bertapak. Ditambah lagi stereotaip dan persepsi yang
sudah menebal dalam kalangan masyarakat terhadap lelaki yang dikaitkan dengan
isu seksual dan pedofilia.
Dalam
situasi ini, yang menjadi mangsa keadaan ialah siswazah lelaki yang mempunyai
kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sudah pasti mereka
juga mahu merasai pengalaman mengendalikan kanak-kanak dan saya percaya segelintir daripada mereka ada memohon kekosongan jawatan di taska dan tadika sekiranya berpeluang.
Kerana saya juga lelaki dan mengalami situasi ini.
Saya
kongsikan pengalaman saya sendiri apabila memohon kekosongan jawatan guru
tadika swasta. Saya sudah berkonvokesyen pada tahun Oktober tahun 2014 di Universiti
Malaya dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Lulus Dengan Kepujian). Saya memilih bidang ini walaupun pada awalnya bermula daripada sifar, tidak mempunyai
apa-apa pengetahuan am berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tetapi apabila
sudah mengikuti kuliah, sedikit demi sedikit kapasiti minat bercambah sehingga sekarang.
Pengalaman 1i
Insiden
ini berlaku pada tahun 2014. Saya klik apply this job pada link untuk jawatan kosong guru tadika di Sabah seperti yang
diiklankan di Sabah Job Center iaitu saluran untuk
memudahkan majikan mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka dan juga
memudahkan juga para pencari kerja untuk memohon pekerjaan yang diingini. Selang
beberapa hari selepas tempoh permohonan jawatan kosong itu tamat tempoh
permohonan, saya menyemak status permohonan sama ada berjaya atau tidak untuk
dipanggil temuduga. Tetapi sangat mendukacitakan saya kerana tidak berjaya dipanggil
temuduga. Sedang apabila dilihat semula syarat-syarat permohonan mempunyai
kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Ya benarlah
jawatan guru tadika hanya untuk mereka yang mempunyai kelayakan. Saya juga
tertanya-tanya, apakah faktor yang menyababkan saya digagalkan untuk ditemuduga
jawatan guru tadika. Saya rasa tidak berpuas hati dan segera menghubungi tadika
berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan berkaitan permohonan saya.
“Saya Izwan, ada memohon jawatan kosong guru
tadika seperti yang telah diiklankan, saya cuma ingin kepastian kenapa saya
tidak dipanggil temuduga ya?.”
“Sorry, kami hanya ambil perempuan
sahaja.”
“Kenapa
perempuan sahaja, sedangkan saya mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan
awal kanak-kanak.”
“Ini
polisi kami.”
Lantas,
telefon tanpa gagang itu saya lepaskan, darah di dalam badan seperti mendidih.
Ini
polisi kami? saya terkejut dan rasa down
sangat. Kerisauan mula menyelubungi diri kerana berfikir, adakah semua tadika
menggunakan polisi yang sama?, hanya mengambil wanita sahaja untuk
bekerja di tadika. Saya mula bingung. Saya mula berfikiran adakah saya sudah melakukan satu kesilapan
besar dalam hidup kerana memilih bidang pendidikan awal kanak-kanak?
Seperti membunuh diri sendiri yang dibantu
oleh wanita sesuai dengan istilah ‘euthanasia,’ iaitu pesakit yang
dibantu oleh doktor untuk melakukan proses kematiannya dengan cara memberi
suntikan. Tetapi saya tidak mahu ‘dimatikan’ oleh mereka.
Impian
saya untuk menjadi guru kanak-kanak tidak akan pernah terkubur, kerana
saya mempunyai minat dalam
bidang pendidikan awal kanak-kanak. Walaupun mempunyai halangan saya tidak akan
berhenti di sini. Kehidupan ialah perjuangan. Perjuangan ialah kehidupan.
Saya
tidak akan melupakan kenyataan “ini polisi kami,” dan tertanya-tanya adakah kandungan
“polisi” tersebut tertulis di dalam mana-mana peraturan atau undang-undang di
Malaysia yang aman dan makmur ini.?
Perbualan
dimatikan dengan mengatakan “ini polisi kami.” Memanglah speechless. Sebenarnya bermula dari kenyataan itu, saya sudah mula
menyedari bahawa ia suatu bentuk penolakan yang bakal dan akan dialami oleh
semua siswazah lelaki yang berlatar belakangkan akademik dalam bidang
pendidikan awal kanak-kanak.
Saya
yakin dan percaya bahawa pihak tadika yang saya hubungi itu tidak
pernah mengambil lelaki untuk bekerja di tadika mereka atau
mungkinkah saya merupakan “golongan minoriti” yang pertama kali menghubungi mereka
untuk meminta penjelasan.?
Ingin
saya nyatakan melalui penulisan ini bahawa kepada para majikan atau pemilik tadika
di luar sana, saya bertegas sekiranya mengiklankan kekosongan jawatan guru tadika di mana-mana saluran yang berdaftar, saya mohon, sila spesifikkan syarat
jantina pekerja sama ada wanita atau lelaki. Elakkan tidak meletakkannya sebab ia seperti memberi harapan. Pendekatan
itu akan lebih jelas dan tiada pembaziran masa dan ekonomi berlaku. Jadi ia
akan memudahkan kedua-dua belah pihak dan kami-kami yang lelaki ini tidak perlu
klik apply this job.
Ini
hanya cadangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Isu ini andai tidak
dibendung awal bermula dari sekarang, ia boleh menimbulkan persepsi yang
negatif kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak di masa akan datang. Cukuplah
biar saya seorang sahaja yang sudah ditolak. Jangan tambahkan jumlahnya lagi. Tidaklah
mengguris hati para pemohon “golongan minoriti” ini. Nampaknya mentaliti
mereka belum terbuka untuk menerima dan mengambil tenaga kerja lelaki
untuk bekerja di tadika. Mungkin tidak semua, tetapi pengalaman pertama ini
telah menjawab persoalan.
Pengalaman 2
Saya
menghantar resume ke sebuah tadika swasta di daerah tempat saya membesar. Pengalaman ini berlaku
pada bulan Mei 2017. Saya bukan berniat untuk merosakkan perniagaan mereka,
cuma rasa terpanggil untuk merakamkan pengalaman ini untuk dikongsikan kepada
para pembaca yang dahagakan cerita.
Kaki
melangkah ke tadika yang ingin dituju, pertama kali menjejak kaki di tadika itu
walaupun sudah berulang kali melintasi kawasan sekitar. Cuma lokasi tadika ini
yang tidak diketahui, mungkin kerana saya tidak peka terhadap persekitaran
semasa berada di dalam perut bas. Tidak mengapa. Sekarang saya telah berjaya menapak
dengan sepuluh jari kaki yang dipimpin oleh mata yang menyuluh jalan di siang
hari. Bukan susah, rupanya lokasi tadika ini sangat strategik kerana berdekatan
dengan masjid dan juga pusat membeli-belah gergasi. Saya memberanikan diri
untuk menghantar resume di tadika ini dan menebalkan muka, saya berkeras dan degil
untuk menghantar resume walaupun sudah pernah ditolak mentah-mentah sebelum
ini.
Saya
memasuki perkarangan tadika ini yang mempunyai sistem keselamatan yang ketat, dikelilingi
pintu pagar besi dan pintu masuk yang ditutup rapat dan akan dibuka sebaik saja
tetamu datang. Pada ketika itu, kanak-kanak sudah tamat sesi pembelajaran
mereka dan ibu bapa sedang menjemput anak-anak mereka untuk dibawa pulang ke
rumah masing-masing. Saya tanpa mempedulikan pergerakan mereka, terus disapa
oleh kakitangan tadika itu.
“Encik
cari siapa?”
“Oh
saya datang untuk menghantar resume ini.”
“Silakan
masuk dan jumpa pengetua.”
Saya
tanpa teragak-agak terus menyelam di dalam tadika itu dan seorang kakitangan di
dalam menunjukkan arah jalan menggunakan jari telunjuknya tanpa sebarang suara.
Pekak kah.? Kejadian seperti ini pernah saya alami, ada yang menunjukkan arah
jalan menggunakan mulutnya. Susah sangatkah hendak bersuara.
Saya
masuk mengucapkan salam dan diminta duduk, aksi macam jumpa guru disiplin di
sekolah. Pengetua tadika itu meminta resume saya dan saya hulur kepada dia. Kami
berkongsi cerita mengenai bidang
pendidikan awal kanak-kanak ini. Pengetua tadika itu bertanya, mengapa saya
mahu bekerja di tadika. Dia menyelidik minat saya dalam bidang ini. Jadinya
saya hanya memberikan jawapan bahawasanya saya mempunyai minat dan suka bekerja
dengan kanak-kanak. Minat ini bermula disebabkan saya merupakan anak sulung dan
mempunyai enam orang adik. Memandangkan peranan saya sebagai anak sulung, saya
sudah terdedah untuk menjaga dan mengasuh mereka sejak dari kecil lagi sehingga
sekarang. Sayalah juga yang selalu melakukan kerja-kerja domestik di rumah.
Sudah menjadi rutin saya melakukannya, sehingga kerisauan akan timbul dalam
diri, sekiranya saya tiada di rumah siapa yang akan menggantikan saya
melakukannya dan bagaimana.? Lihat inilah apa yang telah saya lakukan, siapa
bilang lelaki tidak mahir melakukannya. Saya boleh. Kalian boleh? Saya bukan masuk
bakul angkat sendiri, tetapi inilah realiti.
Pengetua
tadika itu mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju. Dia terus menetapkan
tarikh dan masa untuk sesi temuduga, jadi saya mempunyai masa untuk bersedia menyediakan
rancangan pengajaran. Pengetua tadika itu meminta saya untuk mengajar di kelas
untuk sesi temuduga. Masa sesi pengajaran bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul
11 pagi dan saya telah merancang dan membahagikan masa mengajar ini kepada
empat slot. Mengajar dengan tema anggota badan berpandukan kepada Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
Sebelum
mula mengajar, saya berkenal-kenalan terlebih dahulu dengan kanak-kanak. Saya
mengendalikan kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Seramai 15 orang kanak-kanak di
dalam kelas yang sempit itu. Terkejut saya melihat saiz kelas yang kecil dan
mungkin ada baiknya juga untuk kawalan kelas kerana guru boleh memerhati
tingkah kanak-kanak.
Jadinya
saya mula mengajar dan diperhatikan oleh beberapa orang kakitangan di sana. Do I care?. Saya sudah bersedia untuk
menerima sebarang komen dan kritikan selepas sahaja sesi pengajaran itu
selesai. Pengalaman ini seperti
semasa saya menjalani latihan mengajar di Selangor suatu ketika dulu kerana
diperhatikan oleh penyelia semasa mengendalikan kelas.
Selesai
sahaja sesi pengajaran, saya dipanggil oleh pengetua tadika untuk masuk ke
dalam bilik pengetua bagi sesi refleksi terhadap sesi pengajaran dan
pembelajaran yang saya laksanakan dan juga ulasan berkenaan kanak-kanak.
Saya
memberi sekuntum senyuman kepada pengetua tadika itu dan menyatakan bahawa ia
suatu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya dan nanti bolehlah pengalaman
ini saya kongsikan kepada anak cucu di masa hadapan kelak. Pengalaman mengajar
kanak-kanak di tadika pada bulan Februari merupakan pengalaman berguna walaupun
singkat tetapi banyak input yang saya pelajari, kerana mengendalikan kelas pada
awal tahun persekolahan memang mencabar disebabkan kanak-kanak belum dapat
menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka. Malah masih ada kanak-kanak
yang menangis teresak-esak awal pagi semasa ibu dan bapa mereka menghantar ke
perut kelas!
Pengetua
tadika teruja dengan jawapan yang saya berikan kerana dia menceritakan
pengalaman lepas, beberapa orang yang hadir sesi temuduga di tadika itu mudah
panik apabila berhadapan dengan kanak-kanak sehinggakan ada yang termuntah
katanya. Oh begitu dahsyat sekali sehingga termuntah.
Saya
lulus temuduga kali ini, namun apa yang mengecewakan saya ialah tarikh yang
sepatutnya saya datang bekerja di tadika, seperti yang telah dijanji-janjikan
oleh pengetua tadika berakhir di mulut sahaja. Kerana sehari sebelum mula sesi
persekolahan, saya ada menghubunginya sama ada saya perlu datang bekerja atau
tidak. Mengejutkan saya apabila dia berkata tidak perlu datang kerana mereka
sudah ada pekerja baru. Speechless. Saya yakin pekerja tersebut mesti pekerja
wanita. Saya ditolak lagi.
Perkongsian
pengetua tadika itu ketika saya hadir pada sesi temuduga, dia seringkan
menekankan bahawa sekiranya saya diterima bekerja di tadika, hanya saya seorang
sahaja lelaki dan terdapat lima orang guru perempuan yang akan berada di tadika
itu. Pengetua itu sangat risau dikeranakan saya seorang lelaki, dia risau
kerana ia boleh mencurigakan dan menimbulkan fitnah apabila seorang guru lelaki
bersama-sama dengan guru perempuan di premis tadika. Mungkin pengetua tadika
itu mahu lebih berjaga-jaga dan saya anggap perkara itulah yang membuatkan
pengetua tadika itu berubah fikiran. Nampak tak sangat tidak profesional.
Pengalaman 3
OK.
Banyak yang hendak saya kongsikan lagi. Saya memohon jawatan kerja di taska dan
tadika seperti sudah menjadi satu ketagihan sedangkan saya sudah selalu sangat
mendapat penolakan. Tetapi saya tetap tidak mahu berputus asa.
Kali
ini, saya meninjau-ninjau laman sesawang beberapa tadika dan taska yang ada di
negeri Sabah serta memasuki laman sesawangan JKM Sabah dan mendapat maklumat
berkaitan senarai taska yang berdaftar di bawah JKM Sabah. Saya melihat senarai
taska yang berdaftar di kawasan Kota Kinabalu mencecah dua ratus. Ini sangat
banyak dan saya yakin jumlah taska yang
berdaftar akan terus bertambah lagi. Jadinya saya memuatturun senarai
taska yang dilengkapi dengan alamat dan nombor yang boleh dihubungi.
Saya
meninjau-ninjau senarai taska itu ketika saya masih menganggur. Saya perlukan
pekerjaan bagi mengisi masa dengan perkara yang berfaedah dan menambahkan
pengalaman pekerjaan. Saya memilih taska-taska tertentu danterus menghubungi
nombor yang disertakan.
“Kamu
lelaki minat kerja di taska? Bolehkah?
Di
sini saya dipandang rendah oleh pemilik taska itu. Nadanya seperti terkejut
kerana saya lelaki yang bertanyakan mengenai ada kekosongan jawatan di taska.
Akhirnya saya mengalah dalam diam dan menerimanya dengan hati dan minda yang terbuka.