30 Julai 2017

Pengalaman Praktikum Di Taska

Cerita ini ialah cerita 4 tahun lepas iaitu pada Jun hingga Ogos 2013 semasa saya menjalani praktikum selama 8 minggu di taska yang menggunakan kurikulum Montessori.
Ini merupakan pengalaman pertama saya keluar dari kelas untuk menjalani praktikum dan perasaan itu sangat berdebar-debar. Banyak kepada negatif yang saya fikirkan. Bagaimana itu dan ini?
Mencari lokasi taska, mencari rumah sewa, pengangkutan ke taska bagaimana dan sebagainya lagi. Semua saya perlu tempuh sendiri.

Kebetulan pada masa itu, partner praktikum saya juga perempuan, jadi kami hanya berjumpa di taska sahaja. Jadi saya sebagai lelaki terpaksa mencari penyelesaian kepada semua persoalan yang bermain-main di kotak minda. Saya risau. Sehingga saya berjumpa dengan pensyarah yang menyelaras hal praktikum ini untuk meminta tukar taska yang lain. Kerana penempatan taska ini ditentukan oleh pihak fakulti dan bukan  atas pilihan pelajar. Taska tempat saya menjalani praktikum ialah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Lokasi yang jauh dari kampus.

Tambahan lagi, medium pengajaran di taska itu ialah menggunakan Bahasa Inggeris. Oh tidakkk...Saya tiada pilihan dan perlu menghabiskan praktikum ini.
Perkara pertama sekali apa yang saya lakukan sebelum memulakan praktikum ialah datang ke taska itu untuk membuat lawatan sosial. Perlu datang ke taska itu untuk mengetahui lokasinya, persekitaran dan suasana taska itu. Ini penting supaya tidak mendapat kejutan pada kali pertama memulakan praktikum.

Perkara kedua yang saya lakukan ialah mencari tempat tinggal berdekatan dengan taska. Saya mencari tempat tinggal di kawasan Mutiara Damansara melalui http://www.ibilik.my/ dan akhirnya urusan saya dipermudahkan kerana mendapat satu bilik sewa di apartment yang berdekatan dengan taska. Saya berbincang dengan tuan rumah itu untuk menetapkan tarikh dan masa untuk saya datang meninjau bilik yang hendak disewa selama dua bulan. Akhirnya saya memutuskan untuk menyewa di apartment itu kerana ia benar-benar berdekatan dengan taska itu dan hanya perlu berjalan kaki sahaja ke taska itu yang jaraknya lebih kurang 300 hingga 400 meter. Tempat yang sangat strategik! Jadi hal tempat tinggal dan pengangkutan sudah selesai. Jadi nasihat saya, kepada sesiapa yang bakal menjalani praktikum atau orang putih bilang internship, kena buat satu persatu, bukan fikir semua dalam satu masa memang tidaklah. Kerana ada orang dia tidak tahu mahu mulakan yang mana dan bagaimana, terus buntu dan tersekat di sana. 

Perkara ketiga yang saya lakukan ialah mengangkut bagasi untuk dibawa ke Mutiara Damansara. Nama tempat untuk menjalani praktikum itu ialah Peter & Jane Kindergarten. Bangunannya sangat besar, luas dan selesa. Apa yang memberi kerisauan kepada saya ialah, anak-anak yang bersekolah di kindergarten ini terdiri daripada anak-anak kelas atasan, orang kaya dan berprofil tinggi serta anak-anak selebriti. Terdapat juga anak-anak dari Korea Selatan, Jepun dan sebagainya.  


Dalam kindergarten itu, terdapat kelas-kelas taska, jadinya saya tidak akan terlibat dengan kanak-kanak tadika sepanjang waktu praktikum, kerana saya hanya fokus kepada taska sahaja. Saya ditempatkan kelas taska yang dinamakan sparrow. Seramai 14 orang kanak-kanak. Mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris. Saya rasa tercabar. Tetapi ia suatu pengalaman yang sangat bernilai untuk saya. Keyakinan.

Semasa menjalani praktikum ini, kami telah diberi briefing berkaitan jadual di taska dan sebagainya. Bagusnya di taska ini kerana mereka mempunyai bilik khas untuk bahan bantu mengajar yang cukup dan boleh digunakan secara percuma. Kami hanya perlu meminta kebenaran. Jadi saya tidak perlu menggunakan wang untuk membeli bahan bantu mengajar. 

Awal pagi biasanya kami perlu melakukan greeting time di hadapan pintu masuk taska untuk menjemput kanak-kanak yang datang. Mengucapkan good morning dan memberi senyuman kepada mereka juga sebahagian tugas guru kanak-kanak. Inilah pengalaman baru yang saya perolehi.
Selepas sahaja kanak-kanak masuk ke dalam premis taska, ada kakitangan yang lain bertugas memeriksa suhu badan kanak-kanak untuk memastikan dan merekodkan tahap suhu badan mereka. Sekiranya suhu badan melebihi 37 darjah celcius, kanak-kanak itu kemungkinan besar demam. Jadi mereka akan diasingkan terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

Seawal pukul 7.30 pagi saya sudah tiba di taska, dan rutin saya sebelum kanak-kanak masuk ke kelas ialah membersihkan kelas seperti mengelap cermin, meja, kerusi dan apparatus. Kelas perlu bersih sebelum kanak-kanak masuk ke kelas. Tepat pukul 8 pagi, semua kanak-kanak perlu masuk ke kelas masing-masing. Kanak-kanak diminta duduk di atas lantai dan sesi perbualan pagi bersama guru akan dimulakan. Seperti biasa, perbualan pagi ialah bercerita dengan kanak-kanak mengenai cuaca, tarikh, hari, dan guru akan bertanya apa yang kanak-kanak lakukan semasa hujung minggu atau apa-apa sahaja topik tidak terikat sangat. Tujuannya untuk memastikan kanak-kanak bersedia memulakan sesi pembelajaran. 

Saya juga pernah membelah buah tembikai untuk diberikan kepada kanak-kanak. Apa yang saya pelajari ialah buah tembikai itu perlu dikupas kulitnya dan dipotong saiz kecil kerana mulut kanak-kanak juga kecil. Kalau mahu lebih kreatif, potong dalam bentuk segi tiga. Di taska ini, apa-apa yang dilakukan semua boleh dijadikan pembelajaran. Contohnya semasa memberikan buah tembikai kepada kanak-kanak, sebelum makan perlu tanya mereka, apa warna kulit dan buah tembikai itu, apa bentuk tembikai itu dan sebagainya. Selepas makan juga akan ditanya apa rasa tembikai itu. Inilah konsep kurikulum Montessori. 

Taska ini merupakan taska yang sangat baik fasilitinya, kerana daripada peralatan pinggan mangkuk, tandas dan apron semuanya bersaiz kecil kerana kanak-kanak juga masih kecil. Tidak seperti segelintir taska yang saya pernah lawati, tandas taska ialah saiz orang dewasa! Bagaimana kanak-kanak itu dapat menggunakannya? Begitu juga dengan sudu yang disediakan, sudu orang dewasa. Ya ampun mereka tidak tahukah berkaitan perkembangan kanak-kanak ini. Kalau sudu besar, saiz mulut kanak-kanak kecil tidak sesuai, boleh koyak mulut mereka. Begitu juga tandas, lubang tandas itu boleh muat dua orang kanak-kanak dalam tu kalau mereka tergelincir.
Sebab itu pentingnya mempunyai ilmu dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi staf-staf yang bekerja di taska dan tadika.

Pihak fakulti telah menberi tugasan kajian kes semasa praktikum di taska, kami dikehendaki memilih seorang kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti bersamanya. Saya memilih Paxton kanak-kanak lelaki yang berketurunan Cina. Banyak aktiviti yang saya lakukan seperti turun naik tangga, mengecam warna, menendang bola dan sebagainya sehingga kami semakin rapat.
Paxton merupakan kanak-kanak yang bijak.

“Mr.Izwan, when you last day praktical here?” Tanya Paxton kepada saya.
Wah! Saya teruja kanak-kanak yang belum genap 4 tahun boleh bertanya soalan begitu?
Excellent performance Paxton.

Saya sudah anggap Paxton sebagai adik saya kerana kami semakin rapat sepanjang saya menjalani praktikum di taska.

Saya pernah berjumpa dan menemubual ibu bapa Paxton. Ayahnya mahu Paxton menjadi juruterbang dan emaknya mahu dia menjadi pelukis. Wah satu pengharapan yang tinggi. Mereka lupa sebenarnya mereka tidak boleh menentukan apa yang mereka mahukan, tetapi biarlah anak itu sendiri yang membuat keputusan mengenai cita-citanya. Ibu bapa hanya perlu beri sokongan, dorongan dan panduan sahaja. Adakah ramai lagi ibu bapa di luar sana yang berfikiran begitu? Sungguh autokratik.

Apa yang menarik di taska ini ialah semasa makan, kanak-kanak sudah mempunyai jadual bertugas. Siapa yang memberikan makanan kepada kawan-kawan dari meja ke meja, siapa yang akan menuangkan air, siapa yang membersihkan meja selepas selesai makan dan siapa yang membawa peralatan makan itu ke dapur. Semua sudah ditentukan mengikut jadual yang telah ditampal. Ini bermaksud kanak-kanak belajar menerima tanggungjawab dan kepimpinan diri. Suatu pendedahan awal yang sangat bagus untuk kanak-kanak. Kerana terdapat taska di tempat lain yang membersihkan ialah guru, yang mengemas ialah guru dan semua guru yang lakukan. Kanak-kanak tidak ada pendedahan terhadap tanggungjawab dan kepimpinan diri. Jadi mahu dipupuk bila mereka sudah dewasa? Itu mungkin sudah terlambat seperti kata pepatah yang mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Semasa menjalani praktikum juga, saya berpeluang terlibat dalam mengiringi kanak-kanak membuat lawatan sambil belajar di Taman Burung, Kuala Lumpur. Ini sesuatu yang benar-benar memberi pembelajaran bermakna kepada kanak-kanak di taska. Kanak-kanak dapat meneroka spesies burung secara maujud, mengenal nama-nama burung, mengetahui warna burung, mendengar bunyi-bunyi burung dan menghidu najis burung serta habitat burung. Mereka terokai secara bermakna. Tidak perlulah duduk terperap di dalam kelas tanpa dunia luar, mereka akan memburuk.

Taska ini juga melakukan latihan kebakaran (fire drill) kepada warga sekolah. Pihak taska berkolaborasi dengan ahli bomba dan ia sesuatu yang informatif kerana kanak-kanak diberi peluang masuk ke dalam kereta bomba yang dibawa semasa berlaku kebakaran dan mengenali alat-alat yang digunakan oleh bomba selain itu kanak-kanak dipersembahkan bagaimana api dipadamkan.



Adalah kanak-kanak yang kata “I am so scared.” Kerana ahli bomba datang ke sekolah untuk bekerjasama dalam latihan kebakaran yang telah dirancang oleh pihak sekolah. Pendedahan kepada latihan kebakaran ini perlu kerana ia salah satu persediaan kanak-kanak ke persekolahan formal. 


Semasa hari terakhir praktikum, Paxton mendekati saya dan dia memeluk lutut saya dan mendongak ke atas untuk melihat saya.

 “Mr.Izwan, don’t go away, I want you.” Paxton said.
“Why you want me?” I asked him.
“Because I love you.” Paxton said.

I am speechless at this time, no more words for that. So touching.

Saya mengangkat Paxton dan mendukung dia untuk pertama kali dan yang terakhir. Sebab dia tahu pada masa itu ialah hari terakhir praktikum saya dan saya perlu meninggalkan taska itu dan menyiapkan laporan praktikum. Saya rasa sebak kerana Paxton berkata begitu, mata saya berkaca-kaca dan saya menahan air mata itu.

Pada tahun ini (2017), Paxton berumur 7 tahun dan dia sekarang bersekolah di sekolah rendah. Mungkin sekarang saiz fizikal dia sudah berubah tinggi dan saya harap dia membesar dengan baik.



I miss you Paxton ! 

Tiada ulasan:

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...