21 Februari 2018

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-kanak' mereka tidak beri respon yang positif.

"Kenapa tidak pilih bidang yang ajar sekolah menengah?"

Mulut masyarakat yang suka menjadi hakim pada bidang pendidikan awal kanak-kanak bermula. Saya sudah memilih dan belajar, siapakah anda mahu menidakkan apa yang saya belajar.

Nampak sangat mereka tidak ada pendedahan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dan mereka sebenarnya rugi kerana tidak bertanya apa ilmu yang saya pelajari dalam bidang ini.

Seterusnya ada yang bertanya lagi,

"Lelaki sangat sedikit belajar bidang pendidikan awal kanak-kanak, kenapa belajar bidang ini?"

Rasa ingin tahu mereka sangat tinggi, kerana saya sebagai lelaki belajar bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka seperti memikirkan bahawa bidang ini bidang untuk kaum Hawa sahaja. 

Lagi ada yang sudah sedia maklum tahu saya belajar pendidikan awal kanak-kanak dan merendah-rendahkan bidang ini.

"Alaa dia belajar pendidikan awal kanak-kanak ajar budak tadika saja..."

Ingat! tanpa pendidikan awal, anak anda tidak kenal huruf dan nombor. Doktor, jurutera, guru,petani moden dan ramai lagi semuanya bermula daripada pendidikan awal iaitu taska dan tadika. Tanpa pendidikan awal mereka tidak akan menjadi siapa mereka hari ini. Ini bererti sumbangan pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat besar dan signifikan. 

Sebenarnya bidang yang kurang penyertaan lelaki adalah satu peluang untuk lelaki itu. Kerana ia akan menjadi wakil kepada lelaki di luar sana untuk membuktikan bahawa lelaki juga boleh berjaya di dalam bidang yang didomnasi oleh kaum wanita ini.





15 Februari 2018

Keperluan Kurikulum PERMATA

Kurikulum PERMATA di Malaysia merupakan kurikulum yang diaplikasikan di dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak iaitu di taska.
Saya tidak pernah mendapat pendedahan yang mendalam mengenai kurikulum PERMATA kerana semasa berkuliah di universiti, subjek khas untuk kurikulum PERMATA tidak ada!

Ketika saya menuntut di Universiti Malaya, hanya seorang pensyarah sahaja yang menyentuh sedikit mengenai kurikulum PERMATA. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi pendedahan awal kepada saya.

Sebagai siswazah bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, saya rasa sangat kekurangan kerana tidak mempunyai asas yang kukuh mengenai kurikulum PERMATA. Saya mengutarakan isu ini kerana sudah tiba masanya semua kolej dan universiti di Malaysia melakukan transformasi dalam program Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk menjadikan Kurikulum PERMATA sebagai subjek teras bagi syarat penganugerahan sijil diploma dan ijazah. Kerana pengetahuan berkaitan kurikulum PERMATA adalah untuk melahirkan pendidik yang efektif di dalam persekitaran awal kanak-kanak.

Seperti saya sendiri, saya mendaftar untuk menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA selepas sudah bergraduasi. Itupun melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi kepercayaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM)untuk mengendalikan kursus tersebut.

Adalah tidak lengkap sekiranya siswazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tidak mendapat latihan dan kursus berkaitan Kurikulum PERMATA.
----------------------------------------------------------
Rakan saya yang juga merupakan siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari UPSI ada memberitahu saya berkaitan kursus PERMATA.

“Di UPSI, kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ada ditawarkan, cuma diutamakan untuk pelajar-pelajar senior.”

Sepatutnya pihak UPSI perlu memberi peluang kepada semua pelajar tanpa melihat status junior atau senior. Agar nanti tidak ada pelajar yang kempunan untuk mengikuti kursus tersebut. Lebih dahsyat lagi di Universiti Malaya Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak tidak diadakan oleh Fakulti Pendidikan.

Manakala, rakan saya yang pernah menuntut di UNITAR cawangan Kuala Lumpur dan cawangan Kota Kinabalu yang merupakan siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak juga belum pernah menyertai kursus Kurikulum PERMATA sehinggalah mereka bergraduasi. Apabila mereka bekerja sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred41 di Pusat PERMATA Negara, barulah mereka diarahkan untuk menghadiri kursus tersebut.

Begitu juga rakan sekumpulan saya semasa menyertai kursus iaitu siswazah dari UNISEL, juga tidak didedahkan mengenai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ketika menuntut di UNISEL. Kami menyertai kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA di bawah kendalian badan bukan kerajaan di negeri Sabah iaitu Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah.

Nampak jelas di sini, ramai siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari pelbagai institusi cuba jaya menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Selepas sudah bergraduasi. Adalah lebih produktif sekiranya semua graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia telah selesai menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA sebelum hari konvokesyen.
----------------------------------------------------------
Untuk pengetahuan umum, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ini adalah dibawah penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia melalui kolej dan universiti perlu mencari titik kolaborasi dengan JKMM untuk memasukkan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA sebagai subjek teras di dalam kuliah. Kerana di dalam kursus tersebut para pelajar akan diperkenalkan mengenai komponen-komponen dalam kurikulum PERMATA, dilatih bagaimana membina Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) dan para peserta perlu menjalani amali selama lima hari di taska dengan penyeliaan daripada mentor/jurulatih PERMATA. 

Matlamat hanya satu sahaja, melatih bakal pendidik mempunyai kompetensi. 

14 Februari 2018

Peperiksaan Kursus Asuhan & Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA




Saya sudah selesai menduduki Peperiksaan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Siri 5/2017 pada 26 Oktober 2017. Tujuan saya menyertai kursus ini hanyalah untuk mendapat pengalaman dan mengisi masa yang terluang. Di samping itu untuk mengetahui secara teori dan praktikal mengenai Kurikulum PERMATA yang digunakan di kebanyakan taska-taska di Malaysia.

Bagi mereka yang inginkan pembangunan profesional, digalakkan untuk menyertai kursus yang sangat informatif ini. Kursus ini adalah terbuka kepada semua orang awam, lelaki dan perempuan tidak kira status pekerjaan dan status perkahwinan. Semasa saya menyertai kursus ini terdapat pendidik taska, golongan ibu, dan para pelajar yang mendaftar menyertai kursus ini. Sekiranya anda sedang bekerja atau sedang belajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ia adalah satu kelebihan bagi anda, kerana kursus ini membantu anda menjadi pendidik yang efektif di masa akan datang.

Soalan tidak terlalu senang dan tidaklah terlalu susah aras penilaian (evaluation) seperti dalam Taksonomi Bloom. Cuma ada buku kan, jadi kena kaji dan bukan gagal kaji. Supaya anda lebih bersedia. Paling penting semasa peperiksaan, kena teliti dan baca arahan soalan, sebab pengalaman saya ketika menduduki peperiksaan ini, saya mendapat tahu ramai calon yang lupa membaca arahan soalan sehingga menjawab kesemua soalan sedangkan perlu memilih beberapa soalan sahaja. Jadi ini menyebabkan rasa panik menyaluti diri mereka!






10 Februari 2018

Kanak-Kanak Skrin 2.0

4 Februari 2018 (Ahad)...

Tarikh ini bukanlah tarikh yang istimewa bagi saya. Tetapi tarikh ini merupakan jadual tutorial saya bersama pelajar. Di samping saya berbincang dengan pelajar mengenai topik subjek, saya juga sebenarnya belajar dan mendapat ilmu daripada mereka. Saya sangat bertuah berada di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, kerana saya dapat berjumpa dan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan pelajar yang majoritinya ialah golongan ibu yang mempunyai anak dan juga kakitangan yang bekerja dengan kanak-kanak.

Jadi saya sebagai lelaki, sebenarnya memperolehi input yang berguna dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak kerana pengalaman menguruskan anak yang dikongsikan benar-benar meluaskan perspektif saya. Inilah yang dinamakan proses pembelajaran tidak akan pernah berhenti, kerana setiap saat kita akan belajar dan mempelajari perkara baharu.

Puan Siti, berumur 35 tahun merupakan pelajar saya. Beliau sedang berjuang menyiapkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah institusi pendidikan swasta. Beliau sudah berpengalaman bekerja selama 10 tahun sebagai Pembantu Pengurusan Murid di prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu kepada dua orang anak lelaki yang masing-masing berusia 9 tahun dan 7 tahun.

Sebelum ini saya pernah berkongsikan entri mengenai ‘Kanak-Kanak Skrin 1.0’. Entri kali ini mungkin antara salah satu solusi bagaimana mendedahkan kanak-kanak dengan teknologi di bawah kawalan dan pengawasan ibu bapa. Peranan sebagai ibu bapa adalah sangat signifikan dalam sesebuah institusi keluarga kerana ia memberi pengaruh terhadap pembentukan sikap dan kendiri anak-anak. Betapa pentingnya ilmu keibubapaan untuk dipraktikkan kepada anak-anak di rumah.

Perkongsian tips Puan Siti bagaimana beliau memberi pendedahan teknologi kepada anak-anaknya begitu menampakkan saya bagaimana teknik yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa di rumah.
Daripada perkongsian pengalaman Puan Siti, saya mendapati bahawa Puan Siti merupakan seorang ibu yang demokratik, iaitu memberi peluang kepada anak-anak meneroka dengan bermain permainan menggunakan teknologi tetapi dengan kawalan yang telah ditetapkan olehnya. Pertama, Puan Siti membelikan hanya sebuah telefon pintar untuk anak-anaknya bermain game dan dengan sebuah telefon pintar itulah anak-anaknya berkongsi secara silih ganti untuk bermain game. Kedua, Puan Siti sudah menetapkan masa untuk bermain game pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hal ini demikian kerana hari Isnin sehingga Jumaat anak-anaknya sibuk bersekolah dan pada malamnya Puan Siti menghantar mereka ke kelas mengaji. Jadi hari Sabtu dan Ahad merupakan ‘masa emas’ untuk anak-anaknya bermain game. Ketiga, Puan Siti sengaja membelikan sebuah telefon pintar sahaja, agar anak-anaknya dapat belajar bagaimana untuk bekerjasama dan bersabar menunggu giliran untuk bermain. Dengan sebuah telefon pintar, hubungan anak-anaknya juga dapat dieratkan kerana mereka dapat berkongsi bermain dan komunikasi aktif juga masih wujud antara mereka berdua semasa bermain game. Keempat, Puan Siti memberikan telefon pintar kepada anak-anaknya untuk bermain sepuas-puasnya pada hari Sabtu dan Ahad dan sekiranya telefon pintar itu kehabisan bateri, permainan akan terhenti setakat itu sahaja dan Puan Siti tidak akan mengecas telefon pintar itu. Jadi ternyata nampak kesinambungan antara keempat-empat tips yang dikongsikan oleh Puan Siti.
Itulah cara bagaimana tindakan kawalan dan pengawasan yang dipraktikkan oleh Puan Siti di rumah. Saya sangat teruja dengan teknik yang digunakan oleh Puan Siti kerana dia memberi peluang kepada anak-anaknya bermain game menggunakan telefon pintar seperti kanak-kanak yang lain juga, tetapi dengan kawalan yang rapi dan sistematik. Ini bermakna, dia tidak memberi kebebasan secara total kepada anak-anakanya. Di sini jelas bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam menguruskan anak-anak di rumah.

Sebagai Pembantu Pengurusan Murid di prasekolah, Puan Siti juga menceritakan kepada saya bahawa terdapat seorang kanak-kanak prasekolah di tempat kerjanya yang sudah memakai kaca mata disebabkan mata sudah rosak! Sebab apa rosak? Ibu kepada kanak-kanak tersebut memberitahu Puan Siti, mata anaknya rosak disebabkan terlalu berhadapan dengan telefon pintar. Begitu peri pentingnya peranan ibu dalam mengawal anak-anak yang terdedah dengan teknologi. Sekiranya ibu malah memberi lampu hijau kepada anak-anak sehingga mata anak sudah rosak pada usia kecil lagi, adakah anda rasa tindakan ibu itu sesuai untuk dipraktikkan?



3 Februari 2018

Kanak-Kanak Berkeperluan Khas


Pada Januari 2015 sehingga April 2015. Saya mendapat tawaran untuk menjadi guru ganti.
Hari pertama tiba di sekolah, saya terus berjumpa dengan penolong kanan pentadbiran iaitu Cikgu H. Saya terkaku apabila dia memberitahu saya sebenarnya sebagai guru ganti untuk kelas pendidikan khas. Kerana guru yang cuti bersalin itu sebenarnya ialah guru pendidikan khas. Saya terkaku kerana pada surat tawaran tidak dinyatakan dengan spesifik.

Pada mulanya saya sangat risau, kerana saya tidak ada pengalaman bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas, tetapi saya mempunyai sedikit pendedahan kerana projek imliah yang saya kaji semasa di belajar di universiti ada kaitan dengan kanak-kanak berkeperluan khas iaitu autisme. Selain itu juga, saya pernah menjadi sukarelawan reader kepada pelajar buta di universiti selama dua tahun. Jadi saya sudah mempunyai bekalan kesediaan berhadapan dengan pelajar berkeperluan khas ini.  

Guru-guru pendidikan khas pada masa itu hanya tinggal dua orang sahaja dan seorang pembantu pengurusan murid. Guru pendidikan khas yang dipanggil dengan gelaran Cikgu P memberitahu saya bahawa guru ganti sebelum ini hanya dapat bertahan sehari sahaja. Selepas itu dia berhenti. Kerana mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini sangat mencabar, tidak seperti mengendalikan kanak-kanak di kelas aliran perdana. Mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan perlu terbuka untuk menerima mereka seadanya.

Dengan kesabaran dan keberanian, saya teruskan sehingga tamat tempoh berkhidmat seperti yang sudah dinyatakan di dalam surat tawaran. Saya mengendalikan kelas Tahun 1 Rose yang dihuni oleh empat orang kanak-kanak, iaitu As (sindrom Down), Marl (Autisme), Juh (Autisme + Masalah Pembelajaran), Aud (Masalah Pembelajaran). Tahap perkembangan mereka berbeza-beza dan sebagai guru yang mengendalikan mereka saya perlu bersabar. Seorang kanak-kanak seperti mengendalikan lima puluh orang kanak-kanak. Inilah umpama dan gambaran yang dapat saya catatkan sebagai menerangkan bahawa begitu mencabar sekali mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

As kanak-kanak dengan sindrom Down sering membuat halnya sendiri. Tidak pernah bersuara dan dia tidak memberi penglibatan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak seperti dia perlu dikendalikan secara individu. Saya pernah keluar lari dari kelas, kerana takut dengan As, disebabkan emosi dia berubah menjadi agresif, dia mahu memukul saya, dia mengoyakkan kertas-kertas yang ada di dalam kelas, dia mengambil beg saya. Tiba-tiba menjadi begitu, ini pengalaman pertama saya mengalami situasi begini. As juga pernah lari dari kelas, dan dia mengintip di tandas guru perempuan sehinggakan guru tersebut menjerit. Suatu perasaan berbeza saya rasai. Mereka mempunyai sikap dan perwatakan yang begitu unik. Pendekatan dan cara untuk berinteraksi dengan mereka juga berbeza. Tetapi kuncinya, kesabaran.

Marl, kanak-kanak dengan gangguan Autisme. Dia kerap duduk di bawah meja, tiba-tiba menangis, tiba-tiba ketawa. Marl boleh menulis dan boleh belajar bahasa Inggeris. Dia boleh melibatkan diri dalam sesi pembelajaran. Suka bermain tanah liat. Daripada tanah liat itu, dia boleh menghasilkan pelbagai objek yang pernah dia lihat. Saya begitu teruja kerana pernah nampak dia membuat seekor katak yang sangat kecil menggunakan tanah liat, katak tersebut seperti katak yang hidup. Dia begitu berbakat dan mempunyai kemahiran motor halus yang baik. Nampaknya dia perlukan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) yang khas.

Juh. Dia satu-satunya kanak-kanak perempuan yang ada di dalam kelas pendidikan khas. Kanak-kanak dengan Autisme + Masalah Pembelajaran. Air liur banyak keluar daripada mulutnya sehingga guru melekatkan sapu tangan pada dadanya dengan pin. Apa yang mengejutkan saya, Juh boleh menyanyi lagu Korea yang bertajuk ‘Come Back Home’ daripada kumpulan 2NE1. Dia menyanyi tetapi sebutan tidak begitu jelas, tetapi memang lagu itu  yang saya dengar. Saya tersenyum dan terharu.

Aud pula kanak-kanak dengan masalah pembelajaran. Kanak-kanak ini boleh dibawa berbual dan dia suka bercakap. Jika dilihat secara lahiriah, dia seperti kanak-kanak normal. Tetapi dalam pembelajaran akademik, dari sana kita ada dapat melihat dia mengalami kesukaran. Saya pernah memperkenalkan huruf kepada Aud, tetapi selepas 10 saat sahaja dia sudah lupa walaupun sudah diulang-ulang. Saya sabar.

Di pusat pendidikan khas ini juga mempunyai dua orang adik-beradik lelaki kembar yang hiperaktif di kelas Tahun 2. Mereka juga nampak seperti normal secara lahiriahnya, tetapi mereka sebenarnya hiperaktif, yang tidak boleh duduk diam di dalam kelas dan pernah saya nampak seorang kanak-kanak hiperaktif itu memakan pemadam. Oh Tuhan tolong aku. Mereka juga terlalu aktif bercakap, kerap membawa suasana bising di dalam kelas. Memang kena bersabar.

Dalam kurikulum pendidikan khas, kanak-kanak tidaklah ditekankan kepada akademik semata-mata, banyak dilatih berkaitan kemahiran pengurusan diri. Contoh kemahiran bantu diri yang mereka lakukan ialah seperti menggunakan tandas, menjaga kebersihan diri dan berkebun. Mereka juga banyak aktiviti di luar kelas.


Selama tiga bulan saya bersama dengan kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah, apa yang saya pelajari ialah sebagai guru yang mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas, kita perlu mempunyai ilmu, sabar, berani, dan suka kepada cabaran. Kanak-kanak berkeperluan khas juga memerlukan kasih sayang. Jadi sebagai guru, kita perlu menyalurkan kasih sayang tersebut dengan cara yang sesuai untuk mereka.

Tadika Tanpa Taman Permainan

Saya tertanya-tanya mengapa sebuah tadika iaitu taman kanak-kanak tidak disediakan taman permainan? Sedangkan kanak-kanak berhak untuk bermain dan zaman kanak-kanak ini perlu bermain.

Berdasarkan pemerhatian saya, tadika yang tidak menyediakan taman permainan ini majoritinya ialah tadika swasta. Bukan saya mahu membandingkan dengan tadika awam tetapi isu yang  saya timbulkan ini perlu diberi perhatian.

Sudah namanya tadika swasta, kos yuran juga boleh tahan. Jadi pihak pengusaha haruslah menyediakan taman permainan untuk kanak-kanak. Mereka perlukan ruang untuk bermain juga. Kerana melalui bermain, kanak-kanak dapat berkembang dari aspek sosial, bahasa, fizikal dan kognitif. Ini penting.

Kanak-kanak usah dikurung di dalam premis sahaja tanpa aktiviti yang menyeronokkan. Kanak-kanak perlu merasai pengalaman di luar kelas. Memang perlu dan perlu...

Setakat ini, dua buah tadika yang sudah lama saya perhatikan tanpa taman permainan. Kedua-dua tadika ini hanya menekankan aspek akademik kepada kanak-kanak. Jadi, kanak-kanak lebih banyak berada di dalam premis tadika disebabkan aktiviti pendidikan tertumpu kepada kemahiran bacaan, tulisan serta kiraan.

Kenapa ini boleh berlaku? Kanak-kanak bukanlah robot.

Sekiranya ini berlaku, bermaksud pengamal dalam pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia belum mencapai tahap profesional. Kerana apa? kerana tidak seimbangkan keperluan perkembangan kanak-kanak. Jadinya tadika perlulah mempunyai taman permainan di luar premis. Kerana taman permainan merupakan tempat perkumpulan sosial kanak-kanak dan mereka perlu mendapat pengalaman yang sepatutnya dirasai pada usia awal mereka. 

Bagaimanakah matlamat dalam pendidikan awal kanak-kanak hendak dicapai sekiranya perkara kecil ini tidak diambil berat oleh pengamal dalam pendidikan awal kanak-kanak?



2 Februari 2018

Kisah Zulimah

Disebabkan saya berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ia telah membawa saya bertemu dengan Zulimah. Wanita yang berasal dari Pitas, Sabah. Kulitnya putih dan berkaca mata. Zulimah ialah pelajar saya. Dia berusia 40 tahun pada tahun ini (2018). Pertama kali saya mempunyai pelajar yang umur lebih dewasa. Ini merupakan pengalaman yang bermakna untuk saya, kerana saya dapat belajar menggunakan pendekatan pengajaran yang lebih sesuai untuk peringkat umur seperti itu. Kerana sebelum ini audiens saya ialah hanya kanak-kanak sahaja.

Zulimah bekerja sebagai pembantu guru di sebuah tadika badan bukan kerajaan. Pada mulanya saya anggapkan dia seorang guru, tetapi tekaan saya salah. Apa yang membuatkan saya begitu teruja untuk menulis mengenainya kerana beliau begitu bersemangat untuk menyambung pendidikan pada peringkat ijazah sarjana muda dalam program pendidikan awal kanak-kanak pada usia 40 tahun.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut, saya sebenarnya bekerja sebagai tutor separuh masa atau dalam bahasa Inggeris part-time tutor di sebuah institusi pendidikan. Saya membimbing pelajar yang belajar dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Jadi di sinilah saya bertemu dengan Zulimah sebagai pelajar paling dewasa pernah saya kendalikan.

Ketika mula-mula saya menyambung pengajian dalam program pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Malaya, saya hanya melihat bahawa audiens yang akan saya hadapi nanti ialah hanya kanak-kanak sahaja. Begitu sempit sekali ruang pemikiran saya pada masa itu. Tetapi setelah tamat pengajian, dan misi untuk mencari pekerjaan telah membuka ruang pemikiran saya bahawa saya boleh cuba memohon menjadi tenaga pengajar di institusi yang menawarkan program dalam pendidikan awal kanak-kanak. Jadi dari detik ini barulah ruang pemikiran saya terbuka.

Setelah saya berusaha menghantar resume ke beberapa institusi yang menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak, akhirnya ada institusi yang berkenan untuk mempelawa saya bekerja dengan mereka. Terima kasih untuk itu.

Cukup untuk itu, saya perlu kembali kepada cerita Zulimah tadi.

Mengapa saya mengatakan Zulimah seorang yang bersemangat untuk belajar. Kerana dia merupakan pelajar yang pertama kali berhubung dengan saya melalui e-mel. Beliau bersungguh-sungguh mahu berguru dengan saya. Daripada e-mel beliau yang saya baca, dia betul-betul ikhlas untuk meminta bimbingan dan tunjuk ajar dari saya.

“ Selamat petang encik, saya Zulimah, saya betul-betul memerlukan bantuan untuk membuat tugasan. Tolong bimbing saya...”

Itulah mesej yang dia hantar melalui e-mel sebelum kelas bermula. Dia juga merupakan pelajar yang paling awal sampai di kelas. Kerana saya mendapati pelajar untuk subjek yang saya ajar sepatutnya terdapat tiga orang pelajar. Tetapi hanya Zulimah sahaja yang hadir pada setiap kali kelas saya sehinggakan akhir semester.

Semasa di kelas, saya bertanya kepada Zulimah adakah dia yang menghantar e-mel kepada saya, cuma untuk kepastian sahaja.  Ya dia kata dia yang hantar e-mel itu. Baiklah, tidak mengapa.
Rupanya dia mempunyai tahap kerisauan yang agak tinggi, disebabkan subjek yang saya ajar pernah diambil pada semester sebelumnya dan dia gagal untuk subjek tersebut disebabkan markah tugasan tidak memuaskan. Saya amat terkejut sekali mendengar perkara ini.

Dia sepatutnya tidak wajar diperlakukan begini. Tutor sebelumnya adalah tutor yang berlainan. Bukan saya.

Tetapi perkara yang amat membimbangkan ialah Zulimah mempunyai masalah kekurangan perbendaharaan kata bahasa Inggeris menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk membuat persembahan penulisan tugasan yang secara total menggunakan bahasa Inggeris, begitu juga soalan peperiksaan perlu dijawab secara total dalam bahasa Inggeris. Nota-nota yang saya paparkan juga semua dalam bahasa Inggeris, sehinggakan saya terpaksa menerangkan dan terjemahkan kepada bahasa Melayu, agar Zulimah dapat memahami apa yang saya sampaikan.

Saya sentiasa memberi kata-kata positif dan galakan kepadanya supaya berusaha lebih dan menekankan bahawa umur bukan penghalang untuk mendapatkan ilmu.

Jadi, daripada kisahnya itu, saya membimbing dia dengan cara teliti agar dia mendapat mengumpul markah yang baik untuk tugasan sebanyak 50 markah. Dengan bimbingan saya, Zulimah mendapat 33/50...! Ia suatu pencapaian yang selamat untuk beliau. Bukan mudah untuk mendapatkan markah tugasan yang begitu memuaskan. Hal ini demikian, kerana skrip tugasan disemak di Kuala Lumpur dan bukan tutor yang mengajar subjek itu yang menyemak dan memberi markah tugasan.

Berita gembira yang saya dapat daripada Zulimah ialah dia lulus untuk subjek tersebut dan tidak perlu repeat lagi. Saya sangat gembira kerana dia berjaya lulus kerana usaha serta semangatnya untuk belajar.

Tetapi ada perkara yang membuatkan saya sedikit rasa sedih...

Zulimah berharap saya kembali mengajar semula di institusi tempat beliau belajar kerana saya sudah berhenti bekerja di sana. Apa pun dia masih pelajar saya dan saya masih guru dia. Saya pesan kepada dia, sekiranya terdapat pertanyaan berkaitan akademiknya, boleh saja terus berhubung dengan saya sama ada melalui telefon atau e-mel.

Dan saya berharap saya masih berpeluang berjumpa dengan pelajar yang dewasa sebaya Zulimah ini di masa akan datang dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka supaya mencintai ilmu.


Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...