31 Julai 2017

Kanak-Kanak Skrin 1.0

Saya ingin kongsikan berkaitan topik ‘kanak-kanak skrin’ yang kita memang sedar dan tahu dan kita sendiri mengalaminya.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘kanak-kanak skrin' ini; ia adalah alatan pertama yang diperkenalkan pada usia awal mereka ialah dengan benda berskrin, iaitu telefon pintar, 
I-pad, laptop dan seumpama dengannya.

Lihat di sekeliling anda, di rumah, di pusat membeli-belah dan di mana-mana tempat awam, lihat kanak-kanak sekarang sudah diumpan oleh orang dewasa dengan kecanggihan teknologi, kanak-kanak dihadapkan skrin. Interaksi antara ibu dan anak, antara anak dan ibu, begitu juga dengan bapa dan anak, anak dan bapa sudah semakin jauh untuk dibudayakan. Malah anak-anak dikawal dengan memberikan peralatan canggih bertujuan untuk menghentikan tangisan. Segelintir anak-anak sudah tidak mendengar bila namanya dipanggil oleh ibu bapa dikeranakan mata terpaku pada skrin!

Ada apa dengan skrin? ada pelbagai, ada banyak antaranya ialah game, ada saluran Youtube yang mempunyai muzik, lagu, dan cerita kartun untuk kanak-kanak.

Siapa kata bermain alat teknologi itu tidak boleh? Boleh saja, cuma perlulah berpada-pada. Jangan sehingga anak sudah ketagihan, sudah rosak retina baru melatah.


Tetapi yang menjadi persoalan ialah seawal usia bertatih ibu bapa sudah membiasakan anak-anak dengan alat skrin ini sehingga ada yang tidak dapat dikawal lagi.

Belum ada literasi memanggil ‘Mak, Ayah, Mummy, Daddy, Ummi, Abah’
Belum pun ! sedangkan alat skrin sudah mendahuluinya. 

Oh beginikah sudahkah corak pendidikan alaf baru? atau itu pilihan terakhir ibu bapa? 

SKRIN !!!

Bukan saya katakan seluruh ibu bapa melakukannya, hanya segelintir. Tetapi impak jangka panjang alat skrin terhadap anak-anak perlulah disedari. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang belum bersekolah sudah diberi seperti "bantal emas" dibawa ke mana-mana.  

Bukan salah bagi alat sentuh alat skrin kepada kanak-kanak tetapi perlulah sediakan jadual yang ketat, tidak salah latih dari awal. Bila bercakap mengenai jadual, pandai-pandailah bahagikan masa. Perlu ada perancangan. Itu lebih baik.

Cuba semak di rumah anda sekalian, ada buku cerita kanak-kanak tidak? Kalau ada berapa jumlahnya? Kalau ada, pernah bawa anak-anak membaca buku bersama-sama? Berapa kerap?

Ya umum mengetahui, sekarang dari jari-jemari sudah boleh dapatkan banyak daripada alat skrin seperti online story book dan offline story book. Nanti anak pergi sekolah tidak biasa sentuh buku lepas tu tak minat baca buku. Sebab apa? Sebab anak biasa sentuh alat skrin saja. Buku dia tolak tepi menangis sebab tidak mahu. 

Ada baiknya bagi dia buku dan pensel warna, lantaklah dia conteng sampai patah pensel warna itu, faedah dia dapat kemahiran pra-menulis, pra-literasi. Terlalu main alat skrin apa dia dapatkan. Lagi satu, kalau bagi hadap alat skrin dengan anak, biarlah dedahkan dengan permainan bentuk akademik dan sambil-sambil berkomunikasi bersama dengan anak. Elakkan dia bersendirian!

Pentingnya peranan ibu bapa untuk membuat pengawasan dan menggunakan teknologi dengan pegawasan dan perancangan bermula dari rumah. 

“Biar kita kawal teknologi, bukan teknologi kawal kita”



Program MOCEP di Turki

Negara Turki telah mewujudkan Mother-Child Education Program (MOCEP), iaitu model pendidikan yang direka dan dikenali sebagai home-based program untuk memberi sokongan kepada kaum ibu yang mempunyai anak-anak yang berumur 5 hingga 6 tahun tanpa akses ke prasekolah.  Program MOCEP ini dibangunkan berdasarkan rangka kerja ekologikal yang menekankan kepentingan interaksi dalam persekitaran kanak-kanak. Latihan MOCEP ini menekankan kepada tiga komponen utama  iaitu;
  • Program Sokongan Ibu;
  • Program Perancangan Keluarga dan Kesihatan Reproduktif;
  • Program Pendidikan Kognitif.
Antara matlamat MOCEP yang diimplementasi di Turki ini ialah menyediakan pengayaan kognitif (cognitive enrichment) yang menggalakkan perkembangan psikososial kanak-kanak secara optimal dan kesediaan ke sekolah. Program ini juga membantu kaum ibu untuk memupuk kemahiran dan sikap (attitude) yang memberi impak kepada anak dan juga kesejahteraan mereka bersama.

Sejarah program MOCEP ini bermula pada tahun 1982 sebagai home-based intervention yang dikendalikan sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan selama 4 tahun. Intervensi tersebut mengandungi komponen pengayaan ibu dan komponen pendidikan kognitif yang diadaptasi daripada Home Instruction Program for Preschool Youngsters (HIPPY), program yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Inovasi dalam Pendidikan di Universiti Hebrew, Jerusalem.
Daripada penyelidikan tersebut, program home-based intervention ini telah dikembangkan sebagai program umum kepada Mother Child Education Program (MOCEP) pada tahun 1991. Tempoh program ini diubahsuai daripada 60 minggu, dipendekkan kepada 25 minggu (6 bulan, 7 hari) sahaja.

Pada tahun 1993, Finance Foundation telah menubuhkan Mother-Child Education foundation dan memantau dan menyokong MOCEP. Pada tahun itu juga, program MOCEP dilancarkan pertama kalinya sebagai pusat pendidikan dewasa. Kemudian, program MOCEP ini ditawarkan sebagai kursus percuma sebagai kursus elektif di beberapa universiti di Turki. Selepas hampir sepuluh tahun program MOCEP dilaksanakan di Turki, Kementerian Pendidikan Kebangsaan berkolaborasi dengan MOCEP, dan secara formalnya telah dialihkan kepada Kementerian Pendidikan Kebangsan pada tahun 2002.

MOCEP telah membawa bersama kumpulan dalam 20 hingga 25 orang ibu untuk setiap minggu 3 jam setiap sesi selama tempoh 25 minggu. Setiap sesi dibahagikan untuk mempelajari tiga komponen utama dalam program ini iaitu: Program Sokongan Ibu, Program Perancangan Keluarga dan Kesihatan Reproduktif, dan Program Pendidikan Kognitif. Antara topik yang dipelajari ialah berkaitan perkembangan kanak-kanak dan peranan keluarga, pendengaran aktif, perkembangan sosial dan emosi, dan kepentingan bermain dan impak bermain terhadap perkembangan anak.

Keputusan penilaian daripada kajian eksperimen yang dijalankan pada tahun 1998, mendapati bahawa kanak-kanak yang datang daripada ibu yang dilatih dalam program MOCEP ini mempunyai hasil yang signifikan dalam kawalan ke atas kemahiran pra-literasi, kemahiran pra-numerasi, dan kemahiran literasi dan kemahiran numerik diukur selepas tahun pertama anak-anak bersekolah. Kajian juga mendapati bahawa kanak-kanak yang mana ibu mereka menyertai program MOCEP ini mempunyai gred akhir yang tertinggi semasa gred 1 di sekolah. Selain itu juga, kajian mendapati kesan positif ke atas amalan asuhan kanak-kanak yang dapat mengurangkan disiplin negatif, penyediaan kepada persekitaran belajar yang positif di rumah, meningkatkan komunikasi dan keyakinan diri ibu.

Penyelidikan dalam kesan jangka panjang terhadap program MOCEP menunjukkan bahawa kanak-kanak daripada ibu yang menyertai program ini mencapai skor tertinggi ke atas ujian kebolehan umum dan kecerdasan anak, kejayaan secara akademik, menyambung persekolahan dalam tempoh masa yang lama, membangunkan konsep kendiri positif dan apabila dewasa, bekerja dalam status kerja lebih tinggi dan mendapat gaji yang lebih tinggi. Program MOCEP ini mendapat sumber dan dana daripada Kementerian Pendidikan Turki.






30 Julai 2017

Pengalaman Praktikum Di Taska

Cerita ini ialah cerita 4 tahun lepas iaitu pada Jun hingga Ogos 2013 semasa saya menjalani praktikum selama 8 minggu di taska yang menggunakan kurikulum Montessori.
Ini merupakan pengalaman pertama saya keluar dari kelas untuk menjalani praktikum dan perasaan itu sangat berdebar-debar. Banyak kepada negatif yang saya fikirkan. Bagaimana itu dan ini?
Mencari lokasi taska, mencari rumah sewa, pengangkutan ke taska bagaimana dan sebagainya lagi. Semua saya perlu tempuh sendiri.

Kebetulan pada masa itu, partner praktikum saya juga perempuan, jadi kami hanya berjumpa di taska sahaja. Jadi saya sebagai lelaki terpaksa mencari penyelesaian kepada semua persoalan yang bermain-main di kotak minda. Saya risau. Sehingga saya berjumpa dengan pensyarah yang menyelaras hal praktikum ini untuk meminta tukar taska yang lain. Kerana penempatan taska ini ditentukan oleh pihak fakulti dan bukan  atas pilihan pelajar. Taska tempat saya menjalani praktikum ialah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Lokasi yang jauh dari kampus.

Tambahan lagi, medium pengajaran di taska itu ialah menggunakan Bahasa Inggeris. Oh tidakkk...Saya tiada pilihan dan perlu menghabiskan praktikum ini.
Perkara pertama sekali apa yang saya lakukan sebelum memulakan praktikum ialah datang ke taska itu untuk membuat lawatan sosial. Perlu datang ke taska itu untuk mengetahui lokasinya, persekitaran dan suasana taska itu. Ini penting supaya tidak mendapat kejutan pada kali pertama memulakan praktikum.

Perkara kedua yang saya lakukan ialah mencari tempat tinggal berdekatan dengan taska. Saya mencari tempat tinggal di kawasan Mutiara Damansara melalui http://www.ibilik.my/ dan akhirnya urusan saya dipermudahkan kerana mendapat satu bilik sewa di apartment yang berdekatan dengan taska. Saya berbincang dengan tuan rumah itu untuk menetapkan tarikh dan masa untuk saya datang meninjau bilik yang hendak disewa selama dua bulan. Akhirnya saya memutuskan untuk menyewa di apartment itu kerana ia benar-benar berdekatan dengan taska itu dan hanya perlu berjalan kaki sahaja ke taska itu yang jaraknya lebih kurang 300 hingga 400 meter. Tempat yang sangat strategik! Jadi hal tempat tinggal dan pengangkutan sudah selesai. Jadi nasihat saya, kepada sesiapa yang bakal menjalani praktikum atau orang putih bilang internship, kena buat satu persatu, bukan fikir semua dalam satu masa memang tidaklah. Kerana ada orang dia tidak tahu mahu mulakan yang mana dan bagaimana, terus buntu dan tersekat di sana. 

Perkara ketiga yang saya lakukan ialah mengangkut bagasi untuk dibawa ke Mutiara Damansara. Nama tempat untuk menjalani praktikum itu ialah Peter & Jane Kindergarten. Bangunannya sangat besar, luas dan selesa. Apa yang memberi kerisauan kepada saya ialah, anak-anak yang bersekolah di kindergarten ini terdiri daripada anak-anak kelas atasan, orang kaya dan berprofil tinggi serta anak-anak selebriti. Terdapat juga anak-anak dari Korea Selatan, Jepun dan sebagainya.  


Dalam kindergarten itu, terdapat kelas-kelas taska, jadinya saya tidak akan terlibat dengan kanak-kanak tadika sepanjang waktu praktikum, kerana saya hanya fokus kepada taska sahaja. Saya ditempatkan kelas taska yang dinamakan sparrow. Seramai 14 orang kanak-kanak. Mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris. Saya rasa tercabar. Tetapi ia suatu pengalaman yang sangat bernilai untuk saya. Keyakinan.

Semasa menjalani praktikum ini, kami telah diberi briefing berkaitan jadual di taska dan sebagainya. Bagusnya di taska ini kerana mereka mempunyai bilik khas untuk bahan bantu mengajar yang cukup dan boleh digunakan secara percuma. Kami hanya perlu meminta kebenaran. Jadi saya tidak perlu menggunakan wang untuk membeli bahan bantu mengajar. 

Awal pagi biasanya kami perlu melakukan greeting time di hadapan pintu masuk taska untuk menjemput kanak-kanak yang datang. Mengucapkan good morning dan memberi senyuman kepada mereka juga sebahagian tugas guru kanak-kanak. Inilah pengalaman baru yang saya perolehi.
Selepas sahaja kanak-kanak masuk ke dalam premis taska, ada kakitangan yang lain bertugas memeriksa suhu badan kanak-kanak untuk memastikan dan merekodkan tahap suhu badan mereka. Sekiranya suhu badan melebihi 37 darjah celcius, kanak-kanak itu kemungkinan besar demam. Jadi mereka akan diasingkan terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

Seawal pukul 7.30 pagi saya sudah tiba di taska, dan rutin saya sebelum kanak-kanak masuk ke kelas ialah membersihkan kelas seperti mengelap cermin, meja, kerusi dan apparatus. Kelas perlu bersih sebelum kanak-kanak masuk ke kelas. Tepat pukul 8 pagi, semua kanak-kanak perlu masuk ke kelas masing-masing. Kanak-kanak diminta duduk di atas lantai dan sesi perbualan pagi bersama guru akan dimulakan. Seperti biasa, perbualan pagi ialah bercerita dengan kanak-kanak mengenai cuaca, tarikh, hari, dan guru akan bertanya apa yang kanak-kanak lakukan semasa hujung minggu atau apa-apa sahaja topik tidak terikat sangat. Tujuannya untuk memastikan kanak-kanak bersedia memulakan sesi pembelajaran. 

Saya juga pernah membelah buah tembikai untuk diberikan kepada kanak-kanak. Apa yang saya pelajari ialah buah tembikai itu perlu dikupas kulitnya dan dipotong saiz kecil kerana mulut kanak-kanak juga kecil. Kalau mahu lebih kreatif, potong dalam bentuk segi tiga. Di taska ini, apa-apa yang dilakukan semua boleh dijadikan pembelajaran. Contohnya semasa memberikan buah tembikai kepada kanak-kanak, sebelum makan perlu tanya mereka, apa warna kulit dan buah tembikai itu, apa bentuk tembikai itu dan sebagainya. Selepas makan juga akan ditanya apa rasa tembikai itu. Inilah konsep kurikulum Montessori. 

Taska ini merupakan taska yang sangat baik fasilitinya, kerana daripada peralatan pinggan mangkuk, tandas dan apron semuanya bersaiz kecil kerana kanak-kanak juga masih kecil. Tidak seperti segelintir taska yang saya pernah lawati, tandas taska ialah saiz orang dewasa! Bagaimana kanak-kanak itu dapat menggunakannya? Begitu juga dengan sudu yang disediakan, sudu orang dewasa. Ya ampun mereka tidak tahukah berkaitan perkembangan kanak-kanak ini. Kalau sudu besar, saiz mulut kanak-kanak kecil tidak sesuai, boleh koyak mulut mereka. Begitu juga tandas, lubang tandas itu boleh muat dua orang kanak-kanak dalam tu kalau mereka tergelincir.
Sebab itu pentingnya mempunyai ilmu dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi staf-staf yang bekerja di taska dan tadika.

Pihak fakulti telah menberi tugasan kajian kes semasa praktikum di taska, kami dikehendaki memilih seorang kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti bersamanya. Saya memilih Paxton kanak-kanak lelaki yang berketurunan Cina. Banyak aktiviti yang saya lakukan seperti turun naik tangga, mengecam warna, menendang bola dan sebagainya sehingga kami semakin rapat.
Paxton merupakan kanak-kanak yang bijak.

“Mr.Izwan, when you last day praktical here?” Tanya Paxton kepada saya.
Wah! Saya teruja kanak-kanak yang belum genap 4 tahun boleh bertanya soalan begitu?
Excellent performance Paxton.

Saya sudah anggap Paxton sebagai adik saya kerana kami semakin rapat sepanjang saya menjalani praktikum di taska.

Saya pernah berjumpa dan menemubual ibu bapa Paxton. Ayahnya mahu Paxton menjadi juruterbang dan emaknya mahu dia menjadi pelukis. Wah satu pengharapan yang tinggi. Mereka lupa sebenarnya mereka tidak boleh menentukan apa yang mereka mahukan, tetapi biarlah anak itu sendiri yang membuat keputusan mengenai cita-citanya. Ibu bapa hanya perlu beri sokongan, dorongan dan panduan sahaja. Adakah ramai lagi ibu bapa di luar sana yang berfikiran begitu? Sungguh autokratik.

Apa yang menarik di taska ini ialah semasa makan, kanak-kanak sudah mempunyai jadual bertugas. Siapa yang memberikan makanan kepada kawan-kawan dari meja ke meja, siapa yang akan menuangkan air, siapa yang membersihkan meja selepas selesai makan dan siapa yang membawa peralatan makan itu ke dapur. Semua sudah ditentukan mengikut jadual yang telah ditampal. Ini bermaksud kanak-kanak belajar menerima tanggungjawab dan kepimpinan diri. Suatu pendedahan awal yang sangat bagus untuk kanak-kanak. Kerana terdapat taska di tempat lain yang membersihkan ialah guru, yang mengemas ialah guru dan semua guru yang lakukan. Kanak-kanak tidak ada pendedahan terhadap tanggungjawab dan kepimpinan diri. Jadi mahu dipupuk bila mereka sudah dewasa? Itu mungkin sudah terlambat seperti kata pepatah yang mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Semasa menjalani praktikum juga, saya berpeluang terlibat dalam mengiringi kanak-kanak membuat lawatan sambil belajar di Taman Burung, Kuala Lumpur. Ini sesuatu yang benar-benar memberi pembelajaran bermakna kepada kanak-kanak di taska. Kanak-kanak dapat meneroka spesies burung secara maujud, mengenal nama-nama burung, mengetahui warna burung, mendengar bunyi-bunyi burung dan menghidu najis burung serta habitat burung. Mereka terokai secara bermakna. Tidak perlulah duduk terperap di dalam kelas tanpa dunia luar, mereka akan memburuk.

Taska ini juga melakukan latihan kebakaran (fire drill) kepada warga sekolah. Pihak taska berkolaborasi dengan ahli bomba dan ia sesuatu yang informatif kerana kanak-kanak diberi peluang masuk ke dalam kereta bomba yang dibawa semasa berlaku kebakaran dan mengenali alat-alat yang digunakan oleh bomba selain itu kanak-kanak dipersembahkan bagaimana api dipadamkan.



Adalah kanak-kanak yang kata “I am so scared.” Kerana ahli bomba datang ke sekolah untuk bekerjasama dalam latihan kebakaran yang telah dirancang oleh pihak sekolah. Pendedahan kepada latihan kebakaran ini perlu kerana ia salah satu persediaan kanak-kanak ke persekolahan formal. 


Semasa hari terakhir praktikum, Paxton mendekati saya dan dia memeluk lutut saya dan mendongak ke atas untuk melihat saya.

 “Mr.Izwan, don’t go away, I want you.” Paxton said.
“Why you want me?” I asked him.
“Because I love you.” Paxton said.

I am speechless at this time, no more words for that. So touching.

Saya mengangkat Paxton dan mendukung dia untuk pertama kali dan yang terakhir. Sebab dia tahu pada masa itu ialah hari terakhir praktikum saya dan saya perlu meninggalkan taska itu dan menyiapkan laporan praktikum. Saya rasa sebak kerana Paxton berkata begitu, mata saya berkaca-kaca dan saya menahan air mata itu.

Pada tahun ini (2017), Paxton berumur 7 tahun dan dia sekarang bersekolah di sekolah rendah. Mungkin sekarang saiz fizikal dia sudah berubah tinggi dan saya harap dia membesar dengan baik.



I miss you Paxton ! 

Stesen Bayi

Pengalaman ketika saya bekerja di taska ialah semasa ditempatkan di stesen bayi. Ya ampun. Menangis-nangis bayi sampai satu tempoh, telinga saya sudah beku, tidak terkesan dengan tangisan-tangisan mereka. Sudah menjadi biasa, kata pepatah, alah bisa, tegal biasa. Benar.

Apa yang saya lakukan semasa ditempatkan di stesen bayi?
Sudah pastilah membuat aktiviti, memerhati dan kawal mereka.
Stesen bayi sangat mencabar! Terus terang saya beritahu, saya kalau boleh mahu mengelak ditempatkan di stesen bayi. Saya tidak mahu.
Kau tahankah lama-lama di sana? Dengan jumlah bayi mencecah 4 hingga 5 orang dalam satu masa? Sudah pasti tidak.

Tetapi saya hanya mengikut arahan daripada supervisor. Jadual sudah diberi dan saya akur.
Biasanya kami bagi mainan yang lembut dan selamat untuk bayi-bayi ini. Opss! Sebelum itu, stesen bayi ini bukanlah bayi baru lahir semua, tetapi stesen bayi menempatkan kanak-kanak yang berusia di bawah 12 bulan ke bawah.

Kadang-kadang kami buatlah aktiviti bermain dengan warna. Ambil warna air dan masukkan tapak kaki bayi biar sampai dia pijak warna air tu yang diletakkkan di dalam bekas dan tapak kaki mereka kami letakkan di atas kertas putih. Nah jadilah hasil kerja mereka. Ada tapak kaki atas kertas putih. Nanti emak mereka datang, kami tunjukkan pamerlah ini hasil kerja anak Puan. Mesti dia suka.
Ada beberapa orang bayi tu, hobi menangis. Berjam-jam tidak berhenti. Tapi apa boleh buat, bukan dia hendak berhenti pun, bila penat dia berhentilah sendiri dan tidur. Sudah pujuk, tidak efektif. Lebih baik biarkan asal dia selamat.




Ada ibu yang sangat prihatian dengan anaknya, dia datanglah taska bagi feeding susu badan. Bukan feeding depan-depan saya ya. Di taska sudah disediakan  feeding room untuk kaum ibu yang mahu menyusukan anak mereka. Bilik itu saya tidak dibenarkan masuk dan memang saya tidak pernah masuk.

Tetapi pengalaman yang saya mahu kongsikan ialah apabila ada ibu yang sangat open-minded. Saya mula-mula rasa tidak yakin. Tetapi dia buat biasa sahaja. Mungkin dia tahu saya pengasuh profesional. Kenapa saya kata dia open-minded? Kerana ibu itu masuk ke feeding room untuk memerah susu badannya untuk dimasukkan di dalam botol dan setelah selesai dia memberikan kepada saya dan saya perlu meletakkan susu dalam botol itu di dalam pantri untuk disimpan di dalam peti sejuk. Jadi saya segan-segan mahu mengambil botol itu sebab di dalam ialah susu badan ibu. Tapi saya bersikap terbuka juga dan menganggap itulah sebahagian kerja saya, menyimpan botol itu di tempat yang disediakan. Dapatlah saya belajar sikit berkaitan susu badan ibu. Susu badan ibu yang sudah diperah dan dimasukkan ke dalam botol hanya akan bertahan selama dua jam sahaja, selepas dua jam ia akan basi dan tidak boleh diberikan kepada bayi lagi. Kerana ia boleh mengundang risiko kepada bayi itu. Okay ini ilmu baru yang saya pelajari dalam karier bidang ini. Jadi saya baru sedar bahawa, sebab itu jugalah salah satu faktor mengapa lelaki kurang berminat menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mungkin sebab susu badan ibu. Lelaki segan.

Kemudian saya juga belajar berkaitan matematik di taska. Matematik yang bagaimana? Matematik berkaitan sukatan/ukuran auns dalam botol bayi dan kanak-kanak. Setiap bayi dan kanak-kanak yang masih minum susu formula menggunakan botol sudah mempunyai sukatan auns mereka yang ditentukan oleh ibu mereka. Jadinya, ibu-ibu akan memberitahu pihak taska berkaitan kuantiti auns yang perlu diisi di dalam botol. Kerana pengasuh wanita di taska akan menyediakan susu bayi dan kanak-kanak ini. Terdapat bayi yang minum susu sehingga 4 auns, ada juga yang 5 auns dan sebagainya.

Saya ingat lagi, dulu masa kecil-kecil selalu tengok botol susu adik-adik. Ada sukatan tetapi saya tidak mengetahui berkaitan sukatan auns! Semasa saya berkuliah di Universiti Malaya juga tidak ada dipelajari di dalam subjek Matematik Awal Kanak-Kanak. Sehingga saya berpeluang bekerja di taska, barulah saya mengetahui ilmu baru itu.

Saya pernah bercerita berkaitan sukatan auns ini kepada rakan sekerja di tempat kerja lama. Dia sendiri pun tidak mengetahui berkaitan sukatan auns, walaupun dia mempunyai ramai anak-anak buah di rumah dan paling mengejutkan dia ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik! Dahsyat.

Jadi itulah dia sedikit pengalaman yang saya pelajari daripada stesen bayi di taska.
Menarik dan pengalaman ini benar-benar profesion merah jambu. Lebih lama saya bekerja di taska, lebih banyak yang saya pelajari. Setiap hari, hari yang baru.



Perkongsian saya selanjutnya ialah pengalaman semasa ditempatkan di stesen toddler pula.













Gaya Autokratik

Peristiwa ini berlaku di kedai buku dan benar-benar berlaku di hadapan saya.
Insiden ini berlaku ketika saya sedang mencari buku cerita kanak-kanak untuk dijadikan sebagai koleksi saya.

Seorang wanita yang masuk di kedai buku dari pintu belakang bersama anak perempuannya yang jika dilihat dari saiz fizikal dan pertuturannya seperti kanak-kanak yang berumur tujuh (7) tahun.
Kebetulan di dalam kedai buku mempunyai banyak rak buku dan saya  berdiri di hadapan rak buku cerita kanak-kanak.

Kanak-kanak perempuan itu berdiri di sebelah saya, ketinggiannya di aras pinggang saya. Dia tanpa menghiraukan orang sekeliling, membelek buku cerita yang ada. Seperti syurga baginya, dia tertarik dengan buku-buku itu. Dia membaca dengan lancar.

Kanak-kanak itu berkata kepada emaknya.
“Mak, saya mahu beli buku ini.”
“Hey, tidak payah, kamu tidak pandai membaca.” Kata emaknya.

Tetapi saya mendengar jelas kanak-kanak itu membaca perkataan yang terdapat pada buku cerita itu. Dia sudah mahir membatangkan perkataan. Dia membaca dengan baik. Perkembangan bahasa dan literasi yang cukup cemerlang.

Berbalik kepada respon emaknya, sepatutnya dia tidak harus berkata begitu kepada anaknya. Itu adalah keterlaluan. Saya berfikir, begitukah cara pendidikan anak yang dipraktikkan di rumah?

Semua pun TIDAK BOLEH.

Anak-anak bukanlah robot yang perlu dikawal begitu. Mereka juga manusia yang ada potensi diri.

Ada baiknya emak itu pergi mendekati anaknya membaca buku bersama-sama. Biarlah ada penglibatan walau 60 saat sahaja. Tidak mengapa. Setiap masa yang diluangkan itu sangat bermakna untuk anaknya. Beri respon yang baik kepada anak. Kalau wang tidak mencukupi, si ibu perlu berterus terang dan memberi alasan yang jelas.

Elakkan kata-kata negatif kepada anak. Perlu ada panduan yang terarah dalam mendidik anak. Perlu mengikut situasi bukan hati. Ingat, apabila kata-kata negatif dicurahkan kepada anak-anak, ia akan melekat dalam diri mereka dan mereka akan membesar dengan “bantahan” bukan penerimaan. Cara pendidikan seperti itu akan memberi kesan kepada anak-anak. 





Hadiah Untuk Guru Lelaki Di Taska

Seperti yang kita ketahui, 16 Mei merupakan Hari Guru. Sambutan hari guru ini diraikan untuk mereka yang bergelar guru. Guru merujuk kepada guru taska, guru tadika, guru prasekolah, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah, guru kemahiran dan vokasional serta guru-guru di kolej dan universiti. Saya masih ingat lagi pada tahun 2009, saya mengikuti kursus komputer secara percuma yang ditaja oleh institusi swasta. Selepas sahaja saya tamat mengikuti kursus komputer itu, saya rasa berterima kasih dengan guru yang memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya. Jadinya saya telah memberikan mereka hadiah sebagai tanda terima kasih dan menghargai mereka. Kerana saya menganggap mereka sebagai guru saya. Memandangkan mereka guru wanita, saya memberikan cawan kepada mereka.

Ketika hari guru di taska tempat saya bekerja pada tahun 2015, kaum ibu memberikan hadiah kepada guru-guru di taska sempena Sambutan Hari Guru pada tarikh 16 Mei. Semua guru-guru di taska mendapat hadiah termasuklah saya antara satu-satunya guru lelaki yang bekerja di taska. Saya mendapat hadiah sempena hari guru daripada seorang ibu dan dia berterus-terang dia tidak tahu memberikan hadiah yang bagaimana untuk saya. Dia telah memberikan hadiah tudung jenama Aidijuma kepada semua guru-guru wanita dan saya juga mendapat hadiah tudung Aidijuma. Bukan saya mengkritik tetapi lihatlah kaum ibu sendiri tidak tahu memikirkan hadiah apa yang sesuai untuk guru lelaki, kerana sudah terprogram dalam mental mereka bahawa pekerja di taska ialah guru wanita sahaja. Jadi tudung Aidijuma itu saya berikan kepada mak cik saya yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur. Kerana saya lelaki, saya tidak memakai tudung. 

Saya sangat berterima kasih dengan hadiah hari guru itu, kerana pada bakul hadiah ditampal kata-kata yang positif iaitu “Teaching is not from the textbook, but teaching from the heart.”


Lelaki Bukan Bahan Eskperimen

Masyarakat perlu tahu pekerjaan di taska dan tadika merupakan karier yang didominasi oleh wanita, disebabkan mengasuh kanak-kanak ini merupakan pekerjaan tradisional kaum wanita. Disebabkan ‘token’ itu, majikan lebih cenderung memilih wanita untuk bekerja di taska dan tadika sehinggakan golongan lelaki juga tidak ada keyakinan untuk menceburi bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak kerana masyarakat memandang bekerja di taska dan tadika adalah pekerjaan untuk wanita sahaja. Jadinya, wanita mempunyai peratusan yang tinggi untuk diambil bekerja di taska dan tadika.  

Apabila difikirkan secara kritis, sekiranya golongan lelaki yang mendominasi bekerja di taska dan tadika, sudah pasti kritikan tajam seperti jarum dari langit dijatuhkan di atas kepala mereka kerana dianggap tidak sesuai dan melanggar sistem yang sudah lama bertapak. Ditambah lagi stereotaip dan persepsi yang sudah menebal dalam kalangan masyarakat terhadap lelaki yang dikaitkan dengan isu seksual dan pedofilia. 

Dalam situasi ini, yang menjadi mangsa keadaan ialah siswazah lelaki yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sudah pasti mereka juga mahu merasai pengalaman mengendalikan kanak-kanak dan saya percaya segelintir daripada mereka ada memohon kekosongan jawatan di taska dan tadika sekiranya berpeluang. Kerana saya juga lelaki dan mengalami situasi ini.  

Saya kongsikan pengalaman saya sendiri apabila memohon kekosongan jawatan guru tadika swasta. Saya sudah berkonvokesyen pada tahun Oktober tahun 2014 di Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Lulus Dengan Kepujian). Saya memilih bidang ini walaupun pada awalnya bermula daripada sifar, tidak mempunyai apa-apa pengetahuan am berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tetapi apabila sudah mengikuti kuliah, sedikit demi sedikit kapasiti minat bercambah sehingga sekarang. 

Pengalaman 1i
Insiden ini berlaku  pada tahun 2014. Saya klik apply this job pada link untuk jawatan kosong guru tadika di Sabah seperti yang diiklankan di Sabah Job Center iaitu saluran untuk memudahkan majikan mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka dan juga memudahkan juga para pencari kerja untuk memohon pekerjaan yang diingini. Selang beberapa hari selepas tempoh permohonan jawatan kosong itu tamat tempoh permohonan, saya menyemak status permohonan sama ada berjaya atau tidak untuk dipanggil temuduga. Tetapi sangat mendukacitakan saya kerana tidak berjaya dipanggil temuduga. Sedang apabila dilihat semula syarat-syarat permohonan mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Ya benarlah jawatan guru tadika hanya untuk mereka yang mempunyai kelayakan. Saya juga tertanya-tanya, apakah faktor yang menyababkan saya digagalkan untuk ditemuduga jawatan guru tadika. Saya rasa tidak berpuas hati dan segera menghubungi tadika berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan berkaitan permohonan saya.

 “Saya Izwan, ada memohon jawatan kosong guru tadika seperti yang telah diiklankan, saya cuma ingin kepastian kenapa saya tidak dipanggil temuduga ya?.”
Sorry, kami hanya ambil perempuan sahaja.”
“Kenapa perempuan sahaja, sedangkan saya mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.”
“Ini polisi kami.”

Lantas, telefon tanpa gagang itu saya lepaskan, darah di dalam badan seperti mendidih.
Ini polisi kami? saya terkejut dan rasa down sangat. Kerisauan mula menyelubungi diri kerana berfikir, adakah semua tadika menggunakan polisi yang sama?, hanya mengambil wanita sahaja untuk bekerja di tadika. Saya mula bingung. Saya mula berfikiran adakah saya sudah melakukan satu kesilapan besar dalam hidup kerana memilih bidang pendidikan awal kanak-kanak? 
Seperti membunuh diri sendiri yang dibantu oleh wanita sesuai dengan istilah ‘euthanasia,’ iaitu pesakit yang dibantu oleh doktor untuk melakukan proses kematiannya dengan cara memberi suntikan. Tetapi saya tidak mahu ‘dimatikan’ oleh mereka.

Impian saya untuk menjadi guru kanak-kanak tidak akan pernah terkubur, kerana saya mempunyai minat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Walaupun mempunyai halangan saya tidak akan berhenti di sini. Kehidupan ialah perjuangan. Perjuangan ialah kehidupan.

Saya tidak akan melupakan kenyataan “ini polisi kami,” dan tertanya-tanya adakah kandungan “polisi” tersebut tertulis di dalam mana-mana peraturan atau undang-undang di Malaysia yang aman dan makmur ini.?

Perbualan dimatikan dengan mengatakan “ini polisi kami.” Memanglah speechless. Sebenarnya bermula dari kenyataan itu, saya sudah mula menyedari bahawa ia suatu bentuk penolakan yang bakal dan akan dialami oleh semua siswazah lelaki yang berlatar belakangkan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Saya yakin dan percaya bahawa pihak tadika yang saya hubungi itu tidak pernah mengambil lelaki untuk bekerja di tadika mereka atau mungkinkah saya merupakan “golongan minoriti” yang pertama kali menghubungi mereka untuk meminta penjelasan.?

Ingin saya nyatakan melalui penulisan ini bahawa kepada para majikan atau pemilik tadika di luar sana, saya bertegas sekiranya mengiklankan kekosongan jawatan guru tadika di mana-mana saluran yang berdaftar, saya mohon, sila spesifikkan syarat jantina pekerja sama ada wanita atau lelaki. Elakkan tidak meletakkannya sebab ia seperti memberi harapan. Pendekatan itu akan lebih jelas dan tiada pembaziran masa dan ekonomi berlaku. Jadi ia akan memudahkan kedua-dua belah pihak dan kami-kami yang lelaki ini tidak perlu klik apply this job.

Ini hanya cadangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Isu ini andai tidak dibendung awal bermula dari sekarang, ia boleh menimbulkan persepsi yang negatif kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak di masa akan datang. Cukuplah biar saya seorang sahaja yang sudah ditolak. Jangan tambahkan jumlahnya lagi. Tidaklah mengguris hati para pemohon “golongan minoriti” ini. Nampaknya mentaliti mereka belum terbuka untuk menerima dan mengambil tenaga kerja lelaki untuk bekerja di tadika. Mungkin tidak semua, tetapi pengalaman pertama ini telah menjawab persoalan.

Pengalaman 2
Saya menghantar resume ke sebuah tadika swasta di daerah tempat saya membesar. Pengalaman ini berlaku pada bulan Mei 2017. Saya bukan berniat untuk merosakkan perniagaan mereka, cuma rasa terpanggil untuk merakamkan pengalaman ini untuk dikongsikan kepada para pembaca yang dahagakan cerita.

Kaki melangkah ke tadika yang ingin dituju, pertama kali menjejak kaki di tadika itu walaupun sudah berulang kali melintasi kawasan sekitar. Cuma lokasi tadika ini yang tidak diketahui, mungkin kerana saya tidak peka terhadap persekitaran semasa berada di dalam perut bas. Tidak mengapa. Sekarang saya telah berjaya menapak dengan sepuluh jari kaki yang dipimpin oleh mata yang menyuluh jalan di siang hari. Bukan susah, rupanya lokasi tadika ini sangat strategik kerana berdekatan dengan masjid dan juga pusat membeli-belah gergasi. Saya memberanikan diri untuk menghantar resume di tadika ini dan menebalkan muka, saya berkeras dan degil untuk menghantar resume walaupun sudah pernah ditolak mentah-mentah sebelum ini.

Saya memasuki perkarangan tadika ini yang mempunyai sistem keselamatan yang ketat, dikelilingi pintu pagar besi dan pintu masuk yang ditutup rapat dan akan dibuka sebaik saja tetamu datang. Pada ketika itu, kanak-kanak sudah tamat sesi pembelajaran mereka dan ibu bapa sedang menjemput anak-anak mereka untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Saya tanpa mempedulikan pergerakan mereka, terus disapa oleh kakitangan tadika itu.

“Encik cari siapa?”
“Oh saya datang untuk menghantar resume ini.”
“Silakan masuk dan jumpa pengetua.”
Saya tanpa teragak-agak terus menyelam di dalam tadika itu dan seorang kakitangan di dalam menunjukkan arah jalan menggunakan jari telunjuknya tanpa sebarang suara. Pekak kah.? Kejadian seperti ini pernah saya alami, ada yang menunjukkan arah jalan menggunakan mulutnya. Susah sangatkah hendak bersuara.

Saya masuk mengucapkan salam dan diminta duduk, aksi macam jumpa guru disiplin di sekolah. Pengetua tadika itu meminta resume saya dan saya hulur kepada dia. Kami berkongsi  cerita mengenai bidang pendidikan awal kanak-kanak ini. Pengetua tadika itu bertanya, mengapa saya mahu bekerja di tadika. Dia menyelidik minat saya dalam bidang ini. Jadinya saya hanya memberikan jawapan bahawasanya saya mempunyai minat dan suka bekerja dengan kanak-kanak. Minat ini bermula disebabkan saya merupakan anak sulung dan mempunyai enam orang adik. Memandangkan peranan saya sebagai anak sulung, saya sudah terdedah untuk menjaga dan mengasuh mereka sejak dari kecil lagi sehingga sekarang. Sayalah juga yang selalu melakukan kerja-kerja domestik di rumah. Sudah menjadi rutin saya melakukannya, sehingga kerisauan akan timbul dalam diri, sekiranya saya tiada di rumah siapa yang akan menggantikan saya melakukannya dan bagaimana.? Lihat inilah apa yang telah saya lakukan, siapa bilang lelaki tidak mahir melakukannya. Saya boleh. Kalian boleh? Saya bukan masuk bakul angkat sendiri, tetapi inilah realiti.  

Pengetua tadika itu mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju. Dia terus menetapkan tarikh dan masa untuk sesi temuduga, jadi saya mempunyai masa untuk bersedia menyediakan rancangan pengajaran. Pengetua tadika itu meminta saya untuk mengajar di kelas untuk sesi temuduga. Masa sesi pengajaran bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi dan saya telah merancang dan membahagikan masa mengajar ini kepada empat slot. Mengajar dengan tema anggota badan berpandukan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Sebelum mula mengajar, saya berkenal-kenalan terlebih dahulu dengan kanak-kanak. Saya mengendalikan kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Seramai 15 orang kanak-kanak di dalam kelas yang sempit itu. Terkejut saya melihat saiz kelas yang kecil dan mungkin ada baiknya juga untuk kawalan kelas kerana guru boleh memerhati tingkah kanak-kanak.

Jadinya saya mula mengajar dan diperhatikan oleh beberapa orang kakitangan di sana. Do I care?. Saya sudah bersedia untuk menerima sebarang komen dan kritikan selepas sahaja sesi pengajaran itu selesai. Pengalaman ini seperti semasa saya menjalani latihan mengajar di Selangor suatu ketika dulu kerana diperhatikan oleh penyelia semasa mengendalikan kelas.
Selesai sahaja sesi pengajaran, saya dipanggil oleh pengetua tadika untuk masuk ke dalam bilik pengetua bagi sesi refleksi terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan dan juga ulasan berkenaan kanak-kanak.

Saya memberi sekuntum senyuman kepada pengetua tadika itu dan menyatakan bahawa ia suatu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya dan nanti bolehlah pengalaman ini saya kongsikan kepada anak cucu di masa hadapan kelak. Pengalaman mengajar kanak-kanak di tadika pada bulan Februari merupakan pengalaman berguna walaupun singkat tetapi banyak input yang saya pelajari, kerana mengendalikan kelas pada awal tahun persekolahan memang mencabar disebabkan kanak-kanak belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka. Malah masih ada kanak-kanak yang menangis teresak-esak awal pagi semasa ibu dan bapa mereka menghantar ke perut kelas!
Pengetua tadika teruja dengan jawapan yang saya berikan kerana dia menceritakan pengalaman lepas, beberapa orang yang hadir sesi temuduga di tadika itu mudah panik apabila berhadapan dengan kanak-kanak sehinggakan ada yang termuntah katanya. Oh begitu dahsyat sekali sehingga termuntah.
Saya lulus temuduga kali ini, namun apa yang mengecewakan saya ialah tarikh yang sepatutnya saya datang bekerja di tadika, seperti yang telah dijanji-janjikan oleh pengetua tadika berakhir di mulut sahaja. Kerana sehari sebelum mula sesi persekolahan, saya ada menghubunginya sama ada saya perlu datang bekerja atau tidak. Mengejutkan saya apabila dia berkata tidak perlu datang kerana mereka sudah ada pekerja baru. Speechless. Saya yakin pekerja tersebut mesti pekerja wanita. Saya ditolak lagi.

Perkongsian pengetua tadika itu ketika saya hadir pada sesi temuduga, dia seringkan menekankan bahawa sekiranya saya diterima bekerja di tadika, hanya saya seorang sahaja lelaki dan terdapat lima orang guru perempuan yang akan berada di tadika itu. Pengetua itu sangat risau dikeranakan saya seorang lelaki, dia risau kerana ia boleh mencurigakan dan menimbulkan fitnah apabila seorang guru lelaki bersama-sama dengan guru perempuan di premis tadika. Mungkin pengetua tadika itu mahu lebih berjaga-jaga dan saya anggap perkara itulah yang membuatkan pengetua tadika itu berubah fikiran. Nampak tak sangat tidak profesional.

Pengalaman 3
OK. Banyak yang hendak saya kongsikan lagi. Saya memohon jawatan kerja di taska dan tadika seperti sudah menjadi satu ketagihan sedangkan saya sudah selalu sangat mendapat penolakan. Tetapi saya tetap tidak mahu berputus asa.
Kali ini, saya meninjau-ninjau laman sesawang beberapa tadika dan taska yang ada di negeri Sabah serta memasuki laman sesawangan JKM Sabah dan mendapat maklumat berkaitan senarai taska yang berdaftar di bawah JKM Sabah. Saya melihat senarai taska yang berdaftar di kawasan Kota Kinabalu mencecah dua ratus. Ini sangat banyak dan saya yakin jumlah taska yang  berdaftar akan terus bertambah lagi. Jadinya saya memuatturun senarai taska yang dilengkapi dengan alamat dan nombor yang boleh dihubungi.

Saya meninjau-ninjau senarai taska itu ketika saya masih menganggur. Saya perlukan pekerjaan bagi mengisi masa dengan perkara yang berfaedah dan menambahkan pengalaman pekerjaan. Saya memilih taska-taska tertentu danterus menghubungi nombor yang disertakan.
“Kamu lelaki minat kerja di taska? Bolehkah?
Di sini saya dipandang rendah oleh pemilik taska itu. Nadanya seperti terkejut kerana saya lelaki yang bertanyakan mengenai ada kekosongan jawatan di taska.

Akhirnya saya mengalah dalam diam dan menerimanya dengan hati dan minda yang terbuka. 


Lelaki Sebagai Model Positif

“Male carers have much to offer, including acting as positivie role models for boys, especially from families where the father is absent.”

Masyarakat perlu tahu antara sumbangan guru lelaki dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak ialah bertindak sebagai role model positif kepada kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak yang datang daripada keluarga bukan nukleus.  Guru lelaki mempunyai karakter tersendiri yang sudah pasti berbeza dengan guru wanita. Gaya pengajaran guru lelaki juga unik dan ini memberi satu kelebihan kepada kanak-kanak.
Pengalaman saya sendiri semasa bekerja di sebuah taska pada tahun 2015. Kanak-kanak lelaki cenderung suka mendekati saya dengan cara berinteraksi dan lebih suka bermain dengan saya dan tertarik apabila saya mengendalikan sesuatu aktiviti. Terdapat seorang kanak-kanak di taska itu yang membesar tanpa bapa di rumah dan ibunya yang menjaga dia sejak dari kecil lagi. Kanak-kanak lelaki ini lebih cenderung melakukan aktiviti membaca kerana dibiasakan dan didedahkan oleh ibunya di rumah, sehinggakan kemahiran menulisnya agak perlahan. Sedangkan kanak-kanak ini berumur enam tahun. Kecenderungan kanak-kanak terarah kepada gaya pembelajaran ‘lembut.’
Manakala kanak-kanak lelaki yang datang daripada keluarga nukleus lebih aktif dan suka melakukan aktiviti yang memerlukan mereka bermain dan suka membuat bising. Daripada pemerhatian saya, perwatakan kanak-kanak lelaki yang datang daripada keluarga nukleus dan kanak-kanak lelaki yang bukan daripada keluarga nukleus mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

Sebagai tambahan lagi, aktiviti bermain yang memerlukan pergerakan fizikal yang besar adalah sesuai dikendalikan oleh guru lelaki. Guru wanita mestilah tidak dapat berlari membuka langkah yang besar seperti mana guru lelaki boleh melakukannya. Bagi guru wanita Islam pula mereka bekerja ada yang memakai baju kurung, memakai jubah dan tudung litup. Itu bagus kerana menutup aurat di tempat kerja, tetapi untuk melakukan aktiviti bermain yang memerlukan pergerakan yang besar, sudah pasti mereka-mereka ini tidak mahu.

Sebab itulah tenaga guru lelaki sangat diperlukan di taska dan tadika untuk bersama-sama berkolaborasi dalam memberikan sumbangan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Selain itu, stail pengajaran dan pembawaan guru lelaki dan guru wanita mempunyai keunikan masing-masing yang diperlukan oleh kanak-kanak. Terutamanya dalam aspek solat, guru lelaki menjadi imam ketika solat dan ini dapat memberi pendedahan dan perspektif awal dalam pemikiran kanak-kanak bahawa lelaki adalah imam dalam solat dan bukan guru wanita yang perlu berada di saf hadapan.


Kadar Upah Bekerja Di Taska

Pertama kali saya mendapat tawaran bekerja di Childcare Centre pada bulan Mei 2015 yang dikategorikan sebagai taska di tempat kerja. Masyarakat perlu tahu, terdapat empat (4) kategori taska di Malaysia iaitu taska di tempat kerja, taska di rumah, taska di institusi dan taska komuniti dan terbaharu dikenali sebagai TASKOM iaitu taska 1Malaysia.

Taska yang menawarkan pekerjaan kepada saya ini berlokasi di Bangsar South City. Taska yang sangat selesa dan luas. Mempunyai air-cond dan dilengkapi CCTV. Saya memohon jawatan di taska ini melalui Jobstreet.com dan ini pertama kali saya ditemuduga melalui panggilan telefon. Mungkin majikan itu terpanggil untuk menelefon kerana saya berada di negeri bawah bayu yang merentasi Laut China Selatan. Pengalaman ditemuduga melalui panggilan telefon ini merupakan perkara baharu yang saya alami dan semasa ditemuduga saya diarahkan untuk menyanyikan lagu kanak-kanak. Saya menyanyi lagu bahasa Inggeris dalam talian telefon;

make a circle, big, big, big;
make a circle small, small, small

dan lagu;

butterfly; fly, fly, fly a butterfly,
in the meadow is flying,
in the garden is flying low,
 fly, fly, fly a butterfly.

Mungkin majikan menguji kemahiran nyanyian saya, mungkin juga dia mahu menilai keyakinan diri saya, kerana nyanyian merupakan salah satu kemahiran yang perlu ada sekiranya bekerja dengan kanak-kanak di taska.

Pengalaman sewaktu bekerja di taska atau dipanggil childcare centre ini memberi banyak input kepada diri saya. Saya banyak belajar di dalam karier yang didominasi wanita ini. Kanak-kanak di taska terdiri daripada pelbagai kategori umur dan kanak-kanak telah dibahagikan kepada tiga stesen mengikut tahap umur dan perkembangan mereka. Tiga stesen itu yang pertama ialah kategori baby; stesen ini menempatkan bayi yang berusia di bawah 12 bulan. Seterusnya yang kedua ialah stesen toddler, atau dipanggil sebagai kanak-kanak kecil yang berumur dalam lingkungan 2 tahun hingga 3 tahun. Seterusnya stesen yang ketiga ialah big children, yang menempatkan kanak-kanak yang sudah boleh bercakap dalam lingkungan umur 4 hingga 5 tahun. Tetapi dalam stesen big children ini, terdapat juga kanak-kanak yang berumur 3 tahun kerana tahap perkembangannya yang matang melebihi usia sebenar, pihak taska memasukkan dia dalam kategori big children kerana mudah dikawal dan patuh kepada arahan. Ketiga-tiga stesen ini mempunyai tempat dan ruang mereka dan para pengasuh akan bekerjasama berganti-ganti mengikut stesen dalam masa dan jadual yang telah ditetapkan oleh supervisor di taska yang telah dilantik oleh pengetua taska. Mereka mungkin layak menjadi supervisor kerana senioriti mereka yang sudah lama bekerja dalam bidang ini.

Pengalaman yang saya perolehi sewaktu bekerja di taska ialah semakin kecil usia kanak-kanak yang diuruskan itu, semakin tinggi tahap kesabaran yang perlu dicurahkan. Memang kena bertahan sabar. Contohnya menguruskan bayi yang berusia lapan (8) bulan adalah lebih mencabar berbanding menguruskan kanak-kanak yang berusia lima (5) tahun. Ada bayi yang kerap menangis dan apabila situasi ini berlaku, ia merupakan satu cabaran untuk menghentikan mereka. Betul-betul memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya sebagai pengasuh lelaki memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bayi sehingga dua minggu. Kerana apabila saya mendukung bayi, ada yang menangis tidak mahu didukung oleh saya dan nisbah pengasuh dan bayi mengikut standard Jabatan Kebajikan Masyarakaat (JKM) ialah 1:3, iaitu seorang pengasuh menguruskan tiga orang bayi. Tetapi saya kadang-kadang membuat aktiviti bersama 4 hingga 5 orang bayi.  Hali ini kerana tenaga kerja yang tidak mencukupi. Di taska memang perkara biasa pengasuh selalu bertukar-tukar kerana ramai yang berhenti kerja di saat mereka diperlukan. Disebabkan bekerja di taska inilah saya dapat belajar kemahiran bersabar yang tidak mungkin diperolehi di luar sana. Apabila saya ditempatkan di stesen toddler pula, bahagian ini juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Pengasuh yang profesional tidak boleh marah-marah dengan kanak-kanak. Jadinya aktiviti perlu dilakukan supaya kanak-kanak ini dapat dikawal. Acap kali saya mengendalikan sehingga 8 orang kanak-kanak sekaligus, padahal mengikut nisbah standard Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk toddler, 1:5 sahaja. Tahu tidak cukup staf, kenapa tidak cukupkan. Bagaimana kualiti dapat dipertingkatkan sekiranya staf juga tidak mencukupi. Kerana pekerjaaan mengendalikan dan menguruskan kanak-kanak di taska bukanlah perkara enteng.

Berbalik kepada fokus utama ialah berkaitan kadar upah, terus terang saya beritahu, saya menerima upah bekerja di taska yang pertama sebanyak RM 750.00 sahaja, ini upah bekerja selama dua minggu. Bulan seterusnya saya bekerja penuh selama sebulan tidak termasuk hari Sabtu dan Ahad kerana taska ditutup pada hujung minggu dan masa bekerja bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 6.30 petang. Upah saya sebanyak RM 1500.00 untuk sebulan bekerja dan upah yang saya terima itu belum dicarum KWSP kerana saya dalam tempoh percubaan selama tiga bulan pertama. Bulan ketiga bekerja, hujung bulan saya sepatunya menerima sebanyak RM 1500.00 juga, tetapi majikan memberikan saya RM 1000.00 sahaja terlebih dahulu, alasannya wang tidak cukup. Semua upah yang saya terima ini adalah secara tunai dan dimasukkan di dalam sampul. Oh kerja dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan upah hanya RM 1500.00 sahaja?. Upah RM 1500.00 untuk staf yang mempunyai kelayakan akademik Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan jumlah upah itu kurang sesuai sebenarnya kerana ia tidak mencukupi, lagi kos sara hidup di Kuala Lumpur sangat menggila dan ini tidak adil untuk saya. 

Ditambah lagi, bekerja di taska benar-benar memenatkan fizikal dan mental serta memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Saya menahan kesabaran semasa bekerja di taska sehinggalah saya menyedari bahawa betapa mencabarnya mengendalikan dan menguruskan bayi dan kanak-kanak ini. Menelan kepenatan sepanjang hari sehinggakan saya menghubungi ibu saya berkongsi pengalaman ini. Tuhan telah memberi pengalaman kepada saya untuk merasai pengorbanan bagaimana ibu saya menguruskan saya dan adik-beradik yang lain sewaktu kami masih kecil dahulu. Memikirkan perkara ini membuatkan saya menangis semasa menghubungi ibu saya yang pada ketika itu berada di Sabah manakala saya pula berada di Kuala Lumpur. Sesungguhnya kerja-kerja menguruskan kanak-kanak kecil ini merupakan pekerjaan yang mulia kerana tahap kesabaran teruji yang sangat tinggi serta perlu bertabah. Sebab itulah syurga di telapak kaki ibu


Seperti puncak piramid tahap kesabaran itu perlu diletakkan di atas sekali. Jadi harga ilmu dan kelayakan akademik, kesabaran dan keletihan yang dihadam oleh para pekerja di taska hanya dibayar RM 1500.00 bagi pekerja yang mempunyai ijazah. Manakala bagi pekerja yang tidak mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, iaitu yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya mendapat upah sekitar RM 900.00 sahaja. Cukupkah RM 900.00 hidup di Kuala Lumpur?

Kadar upah RM 1500.00 bagi lokasi bandar besar seperti Kuala Lumpur?... Apa yang mengejutkan saya ialah di negeri Sabah kadar upah bekerja di taska hanya sebanyak RM 600.00 sahaja, sumber ini saya perolehi melalui kenalan yang mempunyai pengalaman bekerja di taska selama setahun yang berlokasi di Kota Kinabalu. Tambahan lagi,  dalam Pengalaman 1 yang saya kongsikan, pengetua tadika memberitahu bahawa gaji guru di tadika itu hanya RM 820.00 sebulan. Walaupun ada guru di tadika itu yang sudah bekerja selama 5 tahun! Walaupun guru yang mempunyai kelayakan akademik Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, pengetua tadika tetap memberikan gaji yang sama nilainya dengan guru-guru tadika yang lain yang hanya mempunyai kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Saya speechless, dan perkara ini sebenarnya merupakan salah satu isu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang masih boleh dibincangkan. Isu kadar upah dan gaji dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia sebenarnya tidak selaras. Terdapat perbezaan yang ketara berkaitan kadar upah dan gaji bagi staf yang bekerja di taska dan tadika ini. Bukan saya mahu membanding-bandingkan antara guru-guru yang bekerja di Tabika KEMAS, Tabika Perpaduan, Prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Taska PERMATA Anak Negara. Tetapi adilkah bagi siswazah yang mempunyai kelayakan akademik yang sama dan menerima upah yang tidak setara dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain?

Umum mengetahui bahawa pendapatan di taska dan tadika swasta adalah bergantung kepada jumlah murid yang menyebabkan kadar upah staf yang bekerja di taska dan tadika swasta ini adalah terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan kelayakan akademik mereka. Tetapi tidakkah pihak yang berkenaan memikirkan bagaimana membantu sektor swasta yang membantu memacu pembangunan ekonomi negara dan semakin berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sedangkan skop kerja dan kurikulum yang digunakan mempunyai persamaan dan bermatlamat untuk meningkatkan potensi kanak-kanak. Berikut ialah Kadar Upah di Taska ( Kuala Lumpur ) bagi Tahun 2015***

Tahap Akademik
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) - RM900.00
Diploma                        - RM 1300.00
Ijazah Sarjana Muda            - 1500.00 

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...