30 Januari 2018

Kanak-Kanak Di Korea Selatan

Saya ingin kongsikan pengalaman saya ketika melancong ke Korea Selatan pujaan seluruh dunia. Walaupun singkat, tetapi saya mendapat pengalaman melalui pemerhatian dan interaksi di sana. Apa yang penting, kita dapat ilmu dan belajar sesuatu.

Saya menempah tiket penerbangan ke Korea Selatan pada tarikh 29 Mac 2014. Pada tarikh tersebut, musim sejuk baru berakhir dan dalam transisi ke musim bunga. Cuaca sangat sejuk. Sejuk yang menusuk tulang, memaksa saya untuk memakai pakaian tiga lapisan untuk menghangatkan badan.  

Negara Korea Selatan merupakan negara yang sangat bersih, kerana rakyatnya sangat memelihara kebersihan. Ini bermaksud, semua lapisan masyarakat dari usia kecil hingga ke warga senja sangat membudayakan sikap menjaga kebersihan. Salah satu faktor ia menjadi begitu kerana bermula daripada sistem pendidikan mereka.

Suatu pagi saya mengikuti rakan saya bersiar-siar di sekitar bandar Hongdae. Kami bersiar- siar sehingga memasuki kawasan tempat perumahan orang Korea. Kawasan yang sangat padat dengan bangunan yang tersusun seperti bentuk segi empat yang banyak. Kami hanya berpusing di kawasan tersebut dan kebaikan susunan bangunan seperti petak ini, kita tidak akan tersesat jalan, kerana ia mudah dan menyenangkan pejalan kaki.

Apa yang memukau mata saya ialah apabila saya ternampak kanak-kanak yang memakai pakaian tebal yang seragam berwarna kuning buah pear ini dengan diiringi oleh guru mereka. Pakaian tebal ini mempunyai logo yang sama. Saya pasti mereka ini kanak-kanak taska, kerana tinggi mereka hanya berada di bawah paras pinggang saya dan sangat comel serta mata mereka sepet! 

Kanak-kanak ini sangat tertib semasa bergerak dalam barisan dan dalam keadaan terkawal. Guru mereka membawa mereka bersiar-siar ketika musim bunga, ini merupakan sesuatu yang sangat membuka mata saya. Saya ceritakan pengalaman ini bukan kerana membanding-bandingkan kanak-kanak taska di Malaysia yang lebih banyak menghabiskan masa di berada di dalam premis taska seperti dikurung dan tidak diberi peluang meneroka persekitaran luar. 


Mungkin setiap taska mempunyai alasan dan polisinya yang tersendiri. Mungkin juga faktor keselamatan. TETAPI bukan semua taska di Malaysia ‘mengurung’ kanak-kanak di dalam premis, terdapat juga taska yang memberi pengalaman meneroka di luar, seperti taska tempat saya menjalani latihan yang membuat lawatan sambil belajar ke Taman Burung di Kuala Lumpur. 



Di Korea Selatan, kanak-kanak taska yang bersiar-siar dengan guru mereka begitu yakin tanpa ada rasa ketakutan. Salah satu sebab kerana negara tersebut mempunyai CCTV yang begitu banyak di tempat awam. Ini menyebabkan kurangnya kes jenayah. 

Kanak-Kanak Kecil Menangis

Sekiranya anda seorang pengasuh di rumah yang bekerja dan mengendalikan kanak-kanak kecil yang kerap kali menangis, usah dipaksa diri untuk menghentikannya. Sebagai pengasuh yang profesional, elakkan daripada menjerit untuk menghentikannya, kerana ia adalah cara yang kurang berkesan. Jadi, sebagai pengasuh yang efektif, anda hanya perlu menjadi kreatif untuk menghentikan kanak-kanak kecil yang kerap menangis dengan cara  mengalihkan perhatiannya. Pengasuh perlu mengetahui apa kegemaran atau benda yang paling disukai oleh kanak-kanak kecil ini.

Saya kongsikan pengalaman saya ketika mengendalikan seorang kanak-kanak kecil (lelaki) yang kerap kali menangis, setiap kali dia menangis dia akan mencampakkan barang mainannya dan apabila saya mengambil semula mainan tersebut dan memberikan kepadanya semula, dia akan meninggikan lagi nada tangisannya sambil menghentak-hentakkan kakinya. Jadi sekiranya situasi ini berlaku, elakkan mengulangi tindakan yang sama, usah dilayani. Kerana ia memang kurang berkesan. Perlu cari strategi yang lain.

Tetapi saya berjaya menghentikan dia dengan mudah dan ringkas, saya tahu dia sangat gemar  menonton video berkaitan cerita yang bertemakan kereta mainan dan barang mainannya memang banyak kereta mainan. Jadi di sini saya mendapat idea iaitu mengalihkan perhatiannya ketika dia  menangis dengan membawanya ke hadapan laptop/televisyen dengan tayangan video bertemakan kereta mainan. Dia terus senyap, kerana dapat menonton video yang memang sangat digemarinya. 

Tetapi, pengasuh yang bekerja di taska dan pusat jagaan kanak-kanak mempunyai strategi yang berlainan mungkin? 

Bahan Bantu Mengajar Untuk Prasekolah


Pada 27 Disember 2017 yang lalu, saya bekerjasama membantu guru prasekolah untuk membina bahan bantu mengajar untuk kanak-kanak prasekolah secara sukarela. Hasil daripada perbincangan, kami memutuskan untuk membina akuarium dengan sumber bahan kos rendah iaitu menggunakan kotak printer sebagai bahan utama. 

Kami memilih tema hidupan air untuk topik Sains Awal. Bagi mengelakkan ketandusan idea dalam membina bahan bantu mengajar, guru prasekolah boleh membina konsep yang sama seperti bahan bantu mengajar ini dengan mempelbagaikan topik seperti pengangkutan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Saya percaya, kanak-kanak pasti teruja  dan tertarik dengan bahan bantu mengajar ini. Jadi sekiranya anda mempunyai kotak atau kertas seperti surat khabar, simpan dan manfaatkannya untuk dijadikan sebagai bahan kitar semula. 

Bahan Bantu Mengajar - Hidupan Air


Selamat Mencuba !

26 Januari 2018

Mengurus Persepsi Ibu Bapa

14 Mei 2015 bersamaan dengan hari Khamis, merupakan hari pertama saya bekerja di sebuah pusat jagaan kanak-kanak kategori taska di tempat kerja. Pada hari pertama, saya masih perlukan ruang sosialisasi untuk berinteraksi dengan kanak-kanak. Sebagai guru awal kanak-kanak, saya perlu pamerkan wajah yang ceria supaya ia menjadi satu platform kepada saya untuk mendekati dan didekati oleh kanak-kanak.

Tetapi apa yang merisaukan saya ialah, para ibu yang menghantar anak-anak mereka ke taska agak terkejut melihat saya berada di dalam taska., Saya masih di dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan staf dan kanak-kanak serta persekitaran di taska. Apa-apa pun, saya perlu berkenalan dengan taska dan seluruh warganya termasuk ibu bapa. Biasalah di taska juga perlu berkenalan bukan di sekolah aliran perdana saja kan.

Sebab saya lelaki, saya menjadi perhatian kaum ibu dan saya melihat kelibat seorang  ibu di hadapan pintu taska, melihat saya seperti rasa was-was kerana agak terkejut melihat saya berada di dalam taska. Ya lah lelaki berada di dalam taska, siapa tidak hairan.
Sambil dia melihat-lihat dari jauh sambil dia berkata, “Siapa tu?”

Seperti saya ini seorang yang mencurigakan dan sudah pastinya saya rasa seperti tidak dialu-alukan. Para ibu-ibu yang menghantar anak mereka ke taska mesti tidak mempercayai saya sebagai lelaki bekerja di taska dan mereka rasa ragu. Daripada gaya pandangan dari jauh, saya sudah menjadi ‘sasaran mata’ ibu-ibu yang ada di sekitar.

Bukan sebab saya seorang sahaja pekerja lelaki menyebabkan saya mengatakan begini, Saya cuma ceritakan ‘first impression’ ibu bapa terhadap pekerja lelaki. Sekadar berkongsi pengalaman sebenar saya sahaja.

Kak Zee iaitu selaku pengurus di taska ini, akhirnya membuat keputusan untuk menulis MEMO mengenai kehadiran saya di taska tersebut. Saya ingat lagi kata Kak Zee, "benda yang paling sukar untuk handle ialah mengurus persepsi ibu bapa", iaitu persepsi ibu bapa terhadap pekerja lelaki di taska.

Wahai tuan dan puan sekalian, saya datang ke taska kerja ikhlas, saya tahulah batas dan sempadan. Bukan saya nak pukul atau kacau anak-anak tuan puan. Sekurang-kurangnya saya belajar bidang pendidikan awal kanak-kanak dan pendedahan awal saya dalam bidang ini sudah sangat membantu walaupun belum cukup sebenarnya.

Antara beberapa poin utama yang ditekankan dalam memo yang Kak Zee tulis untuk ditujukan kepada ibu bapa ialah berkaitan kelayakan saya dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Malaya. Seterusnya memberitahu bahawa saya pernah bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas di Sabah. 

Selain itu, dinyatakan antara had yang saya tidak boleh lakukan di taska ialah, membawa kanak-kanak ke tandas tanpa ditemani pekerja wanita, tidak dibenarkan memandikan kanak-kanak, termasuklah menukarkan pampers serta tidak dibenarkan berada di ruang bilik semasa kanak-kanak sedang tidur tanpa ditemani oleh pekerja wanita. 

Terima kasih Kak Zee, banyak yang saya pelajari dari Kak Zee.

Memo tersebut dibuat khas untuk ibu bapa, dan diletakkan di receptionist supaya ibu bapa yang datang masuk dapat membaca memo tersebut. Dengan adanya memo tersebut, barulah saya rasa sedikit lega dan mendapat penerimaan. Ramai ibu-ibu yang 'say hi and smile' kepada saya selepas mereka membaca MEMO tersebut. 

Minoriti Dalam Kursus

Kali ini saya ingin kongsikan pengalaman saya ketika menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA di bawah pengurusan Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS). Saya merupakan satu-satunya peserta lelaki yang dikelilingi 39 orang peserta daripada kaum Hawa.  

Suatu perasaan yang unik pertama kali saya rasa sebagai peserta lelaki. Rasa macam OKU pula sebab menjadi golongan minoriti.  

Niat, untuk dapatkan ilmu.Tapi paling best saya dilantik dan diberi amanah menjadi penghulu (ketua). Bukan saya yang mahu, tapi para peserta yang pilih dan undi saya. 

Saya sedar memang ternyata bidang pendidikan awal kanak-kanak didominasi oleh kaum Hawa. Daripada para peserta 99 peratus adalah kaum Hawa, dan begitu juga para penceramah 100 peratus adalah kaum Hawa. OMG! belum saya cerita bagaimana saya hadap masa slot teknik penyusuan bayi you all. Semua mereka gelakkan saya. 

Mungkin saya tersasar pilih bidang pendidikan awal kanak-kanak? 
No! I am in the right place. 

Saya sebenarnya sudah lama mahu menyertai kursus ini sebagai tujuan untuk pembangunan profesional dan mahu meningkatkan pengetahuan dan pengalaman saya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Alang-alang saya sudah terlanjur meneroka bidang ini, saya teruskan sahaja. Tidak semua siswazah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak akan terfikir untuk mahu menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ini. Apa yang paling best, bacth kami mendapat subsidi kerajaan, kami hanya perlu membayar yuran separuh harga sahaja, daripada RM1100.00, kami perlu bayar RM490.00 sahaja. 

Sebenarnya adalah sangat rugi sekiranya mereka belum menyertai kursus ini. Untuk pengetahuan pembaca, peserta yang menyertai kursus ini adalah atas sebab sukarela sahaja dan bukan paksaan. Jadi biarkan mereka mengisi masa lapang yang tersedia dengan perkara yang memberi bermanfaat daripada duduk memburuk di rumah!

LULUS Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA, merupakan kriteria yang diperlukan untuk bekerja sebagai pengasuh/pendidik di TASKA dan ia juga merupakan syarat/lesen untuk membuka perniagaan TASKA bagi yang berminat untuk menjadi pengusaha TASKA. 

Apa yang dapat saya pelajari dalam kursus ini ialah mempelajari Skop Kurikulum PERMATA Negara yang mempunyai dua komponen utama iaitu Komponen Asas Pengasuhan Bayi dan Kanak-Kanak, dan Bidang Pembelajaran PERMATA untuk Perkembangan Kanak-Kanak.

Terdapat 4 Komponen Asas Pengasuhan Bayi dan Kanak-Kanak iaitu:
1.  Pemakanan Seimbang
2. Keselamatan Kanak-Kanak
3. Penjagaan dan Latihan Urus Diri Bayi dan Kanak-Kanak
4. Amalan Pengasuhan

     Bidang Pembelajaran PERMATA untuk Perkembangan Kanak-Kanak pula terdiri daripada 6 bidang:
1.      Perkembangan Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohanian
2.      Perkembangan Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal
3.      Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik
4.      Perkembangan Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran
5.      Perkembangan Fizikal
6.      Perkembangan Kreativiti dan Kreativiti

Ramai juga dalam kalangan peserta merupakan pengasuh/pendidik di TASKA yang belum memiliki sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA. Jadi mereka hadir ke kursus tersebut kerana pengasuh dan pendidik di taska WAJIB menyertai kursus PERMATA.

Saya sangat berterima kasih kepada semua penceramah dan rakan-rakan peserta kerana memberikan galakan dan sangat terbuka dengan kehadiran saya sebagai peserta lelaki. Tidak ramai lelaki yang mencebur diri dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, boleh dihitung dengan jari!

Mungkin, ada segelintir manusia yang pandang rendah dengan bidang pendidikan awal kanak-kanak, tetapi berada dalam bidang ini saya mengetahui pengorbanan seorang ibu yang mengasuh dan membesarkan anak-anak. Disebabkan saya mempunyai pengalaman bekerja di taska, saya merasainya. Saya tahu (sebagai lelaki). 

Pupuk Minat Membaca

Sewaktu saya berumur sekitar usia 3-4 tahun, bapa saya kerap membawa saya ke perpustakaan di pekan setiap kali hujung minggu. Tujuannya untuk mendekatkan saya dengan buku dan membiasakan saya dengan buku. Pada ketika itu sekitar tahun 1990-an, alat pendidikan pertama yang saya sentuh ialah buku!

Saya sangat gembira apabila dapat meminjam buku dan membawa pulang buku itu untuk dibaca di rumah. Walaupun pada ketika itu, saya tidak kenal huruf lagi, baca pun tak tahu, hanya tengok gambar saja, tetapi saya boleh memahami jalan cerita daripada gambar tersebut.

Apabila saya dihantar ke tadika, saya mudah mengenal huruf-huruf yang diperkenalkan oleh guru tadika kerana sudah mempunyai pengalaman pra-literasi sebelum ke tadika. Saya sangat berterima kasih dengan bapa saya kerana memberi pendedahan awal kepada saya sejak dari kecil lagi. Bapa saya seorang yang mempraktikkan budaya membaca di rumah, buktinya sejak saya tadika sehingga sekolah menengah beliau tidak pernah berhenti membeli surat khabar, setiap hari dia akan beli surat khabar baharu dan bawa balik ke rumah untuk dibaca. Saya akan belek surat khabar itu selepas dia habis menghadamnya. Kadang-kadang nakal juga, saya buat kapal... Kerana surat khabar itu sangat banyak, tebal dan terbiar begitu sahaja.

Selain surat khabar, bapa saya juga banyak membeli bahan bacaan versi dewasa, seperti majalah wanita, buku keagamaan, buku motivasi dan tidak lupa juga bahan bacaan politik. Bahan bacaan itu sangat banyak sehinggakan rumah  jadi seperti ‘perpustakaan mini’. Saya panggil ia sebagai pusat sumber. Kerana sewaktu sekolah rendah dulu, saya pernah dilantik menjadi pustakawan sekolah dan bertugas di pusat sumber yang banyak buku tersusun rapi pada rak yang disediakan. Saya ingat lagi, saya pernah tertangkap oleh cikgu di sekolah kerana membawa buku tahap dewasa, cikgu kata"kamu masih sekolah rendah tidak boleh baca buku ini,"  tetapi cikgu perlu ingat kanak-kanak meneroka ilmu melalui pembacaan. Kenapa perlu menghalang benda positif? 


Ketika saya berumur 14 tahun, bapa saya hadiahkan sebuah novel sastera terulung yang berjudul ‘Tenggelamnnya Kapal Van Der Wijck’ karya HAMKA, 286 halaman. Cetakan Kedua; 2004. Isi kandungan novel itu sangat menusuk sehingga berjaya memecahkan empangan air mata saya. Sehingga sekarang saya masih simpan novel itu.

Bapa saya benar-benar memainkan peranan dan menunjukkan role model kepada saya dalam menceburi bidang pembacaan ini sejak saya dari kecil sehingga kini. Dia tidak putus-putus membaca sehingga dia boleh ceritakan semula apa yang dia telah baca. Pengalaman ini telah banyak membantu diri saya dalam aspek pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dalam aspek penulisan dan pengejaan, kerana pendedahan sejak dari kecil yang konsisten. 

Pendedahan kepada buku sejak dari kecil, telah membantu pembelajaran saya di sekolah dan tidak mempunyai masalah dalam subjek bahasa, terutamanya bahasa Melayu, kerana itu juga saya mendapat skor Bahasa Melayu/Malaysia yang cemerlang sewaktu di sekolah dulu. Bukan saya masuk bakal, angkat sendiri, tapi saya cuma berkongsi bagaimana ia menjadi tanpa kelas tuisyen. 

Oleh kerana budaya membaca itu sudah menjadi kebiasaan, saya menjadi lebih yakin apabila berhadapan dengan buku. Pada usia 18 tahun dan 19 tahun, saya selalu ke kedai buku membeli majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara genre majalah DBP yang saya gemar ialah Dewan Sastera dan Dewan Siswa. Saya beli majalah yang sudah dilelong ! 1 Ringgit Malaysia senaskah. Tak perlu beli mahal-mahal. Hal ini demikian kerana kita boleh mendapat ilmu daripada pembacaan dan ilmu tidak akan pernah habis untuk diterokai.

Mulai tamat persekolahan, saya sudah berani membeli buku secara atas talian, antara genre yang paling gemar saya beli pada ketika ini ialah genre Indie dan motivasi. 

Jadi kesimpulannya di sini, memupuk minat dan budaya membaca buku perlulah bermula dari usia kecil lagi, sebab itu dalam kurikulum pendidikan awal kanak-kanak, aktiviti yang berkaitan dengan perkembangan literasi dan bahasa seperti bercerita, membaca dan menyanyi wajib ada. Secara realitinya, segelintir masyarakat, dia boleh membaca tetapi tidak mempraktikkan budaya membaca, sehingga dia rasa membaca itu suatu beban, lama-lama dia menjauh dari buku dan akhirnya budaya membaca buku sudah semakin pudar. Mungkin anda sendiri ada pengalaman yang berbeza, tetapi itu terpulang bagaimana anda mengekalkan minat membaca buku, setiap strategi dan yang pernah diaplikasikan bukan menjadi satu masalah, yang menjadi masalah ialah apabila masyarakat sudah tidak membudayakan membaca buku lagi. 


Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...