30 Julai 2017

Lelaki Bukan Bahan Eskperimen

Masyarakat perlu tahu pekerjaan di taska dan tadika merupakan karier yang didominasi oleh wanita, disebabkan mengasuh kanak-kanak ini merupakan pekerjaan tradisional kaum wanita. Disebabkan ‘token’ itu, majikan lebih cenderung memilih wanita untuk bekerja di taska dan tadika sehinggakan golongan lelaki juga tidak ada keyakinan untuk menceburi bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak kerana masyarakat memandang bekerja di taska dan tadika adalah pekerjaan untuk wanita sahaja. Jadinya, wanita mempunyai peratusan yang tinggi untuk diambil bekerja di taska dan tadika.  

Apabila difikirkan secara kritis, sekiranya golongan lelaki yang mendominasi bekerja di taska dan tadika, sudah pasti kritikan tajam seperti jarum dari langit dijatuhkan di atas kepala mereka kerana dianggap tidak sesuai dan melanggar sistem yang sudah lama bertapak. Ditambah lagi stereotaip dan persepsi yang sudah menebal dalam kalangan masyarakat terhadap lelaki yang dikaitkan dengan isu seksual dan pedofilia. 

Dalam situasi ini, yang menjadi mangsa keadaan ialah siswazah lelaki yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sudah pasti mereka juga mahu merasai pengalaman mengendalikan kanak-kanak dan saya percaya segelintir daripada mereka ada memohon kekosongan jawatan di taska dan tadika sekiranya berpeluang. Kerana saya juga lelaki dan mengalami situasi ini.  

Saya kongsikan pengalaman saya sendiri apabila memohon kekosongan jawatan guru tadika swasta. Saya sudah berkonvokesyen pada tahun Oktober tahun 2014 di Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Lulus Dengan Kepujian). Saya memilih bidang ini walaupun pada awalnya bermula daripada sifar, tidak mempunyai apa-apa pengetahuan am berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tetapi apabila sudah mengikuti kuliah, sedikit demi sedikit kapasiti minat bercambah sehingga sekarang. 

Pengalaman 1i
Insiden ini berlaku  pada tahun 2014. Saya klik apply this job pada link untuk jawatan kosong guru tadika di Sabah seperti yang diiklankan di Sabah Job Center iaitu saluran untuk memudahkan majikan mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka dan juga memudahkan juga para pencari kerja untuk memohon pekerjaan yang diingini. Selang beberapa hari selepas tempoh permohonan jawatan kosong itu tamat tempoh permohonan, saya menyemak status permohonan sama ada berjaya atau tidak untuk dipanggil temuduga. Tetapi sangat mendukacitakan saya kerana tidak berjaya dipanggil temuduga. Sedang apabila dilihat semula syarat-syarat permohonan mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Ya benarlah jawatan guru tadika hanya untuk mereka yang mempunyai kelayakan. Saya juga tertanya-tanya, apakah faktor yang menyababkan saya digagalkan untuk ditemuduga jawatan guru tadika. Saya rasa tidak berpuas hati dan segera menghubungi tadika berkenaan untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan berkaitan permohonan saya.

 “Saya Izwan, ada memohon jawatan kosong guru tadika seperti yang telah diiklankan, saya cuma ingin kepastian kenapa saya tidak dipanggil temuduga ya?.”
Sorry, kami hanya ambil perempuan sahaja.”
“Kenapa perempuan sahaja, sedangkan saya mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.”
“Ini polisi kami.”

Lantas, telefon tanpa gagang itu saya lepaskan, darah di dalam badan seperti mendidih.
Ini polisi kami? saya terkejut dan rasa down sangat. Kerisauan mula menyelubungi diri kerana berfikir, adakah semua tadika menggunakan polisi yang sama?, hanya mengambil wanita sahaja untuk bekerja di tadika. Saya mula bingung. Saya mula berfikiran adakah saya sudah melakukan satu kesilapan besar dalam hidup kerana memilih bidang pendidikan awal kanak-kanak? 
Seperti membunuh diri sendiri yang dibantu oleh wanita sesuai dengan istilah ‘euthanasia,’ iaitu pesakit yang dibantu oleh doktor untuk melakukan proses kematiannya dengan cara memberi suntikan. Tetapi saya tidak mahu ‘dimatikan’ oleh mereka.

Impian saya untuk menjadi guru kanak-kanak tidak akan pernah terkubur, kerana saya mempunyai minat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Walaupun mempunyai halangan saya tidak akan berhenti di sini. Kehidupan ialah perjuangan. Perjuangan ialah kehidupan.

Saya tidak akan melupakan kenyataan “ini polisi kami,” dan tertanya-tanya adakah kandungan “polisi” tersebut tertulis di dalam mana-mana peraturan atau undang-undang di Malaysia yang aman dan makmur ini.?

Perbualan dimatikan dengan mengatakan “ini polisi kami.” Memanglah speechless. Sebenarnya bermula dari kenyataan itu, saya sudah mula menyedari bahawa ia suatu bentuk penolakan yang bakal dan akan dialami oleh semua siswazah lelaki yang berlatar belakangkan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Saya yakin dan percaya bahawa pihak tadika yang saya hubungi itu tidak pernah mengambil lelaki untuk bekerja di tadika mereka atau mungkinkah saya merupakan “golongan minoriti” yang pertama kali menghubungi mereka untuk meminta penjelasan.?

Ingin saya nyatakan melalui penulisan ini bahawa kepada para majikan atau pemilik tadika di luar sana, saya bertegas sekiranya mengiklankan kekosongan jawatan guru tadika di mana-mana saluran yang berdaftar, saya mohon, sila spesifikkan syarat jantina pekerja sama ada wanita atau lelaki. Elakkan tidak meletakkannya sebab ia seperti memberi harapan. Pendekatan itu akan lebih jelas dan tiada pembaziran masa dan ekonomi berlaku. Jadi ia akan memudahkan kedua-dua belah pihak dan kami-kami yang lelaki ini tidak perlu klik apply this job.

Ini hanya cadangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Isu ini andai tidak dibendung awal bermula dari sekarang, ia boleh menimbulkan persepsi yang negatif kepada bidang pendidikan awal kanak-kanak di masa akan datang. Cukuplah biar saya seorang sahaja yang sudah ditolak. Jangan tambahkan jumlahnya lagi. Tidaklah mengguris hati para pemohon “golongan minoriti” ini. Nampaknya mentaliti mereka belum terbuka untuk menerima dan mengambil tenaga kerja lelaki untuk bekerja di tadika. Mungkin tidak semua, tetapi pengalaman pertama ini telah menjawab persoalan.

Pengalaman 2
Saya menghantar resume ke sebuah tadika swasta di daerah tempat saya membesar. Pengalaman ini berlaku pada bulan Mei 2017. Saya bukan berniat untuk merosakkan perniagaan mereka, cuma rasa terpanggil untuk merakamkan pengalaman ini untuk dikongsikan kepada para pembaca yang dahagakan cerita.

Kaki melangkah ke tadika yang ingin dituju, pertama kali menjejak kaki di tadika itu walaupun sudah berulang kali melintasi kawasan sekitar. Cuma lokasi tadika ini yang tidak diketahui, mungkin kerana saya tidak peka terhadap persekitaran semasa berada di dalam perut bas. Tidak mengapa. Sekarang saya telah berjaya menapak dengan sepuluh jari kaki yang dipimpin oleh mata yang menyuluh jalan di siang hari. Bukan susah, rupanya lokasi tadika ini sangat strategik kerana berdekatan dengan masjid dan juga pusat membeli-belah gergasi. Saya memberanikan diri untuk menghantar resume di tadika ini dan menebalkan muka, saya berkeras dan degil untuk menghantar resume walaupun sudah pernah ditolak mentah-mentah sebelum ini.

Saya memasuki perkarangan tadika ini yang mempunyai sistem keselamatan yang ketat, dikelilingi pintu pagar besi dan pintu masuk yang ditutup rapat dan akan dibuka sebaik saja tetamu datang. Pada ketika itu, kanak-kanak sudah tamat sesi pembelajaran mereka dan ibu bapa sedang menjemput anak-anak mereka untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Saya tanpa mempedulikan pergerakan mereka, terus disapa oleh kakitangan tadika itu.

“Encik cari siapa?”
“Oh saya datang untuk menghantar resume ini.”
“Silakan masuk dan jumpa pengetua.”
Saya tanpa teragak-agak terus menyelam di dalam tadika itu dan seorang kakitangan di dalam menunjukkan arah jalan menggunakan jari telunjuknya tanpa sebarang suara. Pekak kah.? Kejadian seperti ini pernah saya alami, ada yang menunjukkan arah jalan menggunakan mulutnya. Susah sangatkah hendak bersuara.

Saya masuk mengucapkan salam dan diminta duduk, aksi macam jumpa guru disiplin di sekolah. Pengetua tadika itu meminta resume saya dan saya hulur kepada dia. Kami berkongsi  cerita mengenai bidang pendidikan awal kanak-kanak ini. Pengetua tadika itu bertanya, mengapa saya mahu bekerja di tadika. Dia menyelidik minat saya dalam bidang ini. Jadinya saya hanya memberikan jawapan bahawasanya saya mempunyai minat dan suka bekerja dengan kanak-kanak. Minat ini bermula disebabkan saya merupakan anak sulung dan mempunyai enam orang adik. Memandangkan peranan saya sebagai anak sulung, saya sudah terdedah untuk menjaga dan mengasuh mereka sejak dari kecil lagi sehingga sekarang. Sayalah juga yang selalu melakukan kerja-kerja domestik di rumah. Sudah menjadi rutin saya melakukannya, sehingga kerisauan akan timbul dalam diri, sekiranya saya tiada di rumah siapa yang akan menggantikan saya melakukannya dan bagaimana.? Lihat inilah apa yang telah saya lakukan, siapa bilang lelaki tidak mahir melakukannya. Saya boleh. Kalian boleh? Saya bukan masuk bakul angkat sendiri, tetapi inilah realiti.  

Pengetua tadika itu mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju. Dia terus menetapkan tarikh dan masa untuk sesi temuduga, jadi saya mempunyai masa untuk bersedia menyediakan rancangan pengajaran. Pengetua tadika itu meminta saya untuk mengajar di kelas untuk sesi temuduga. Masa sesi pengajaran bermula seawal pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi dan saya telah merancang dan membahagikan masa mengajar ini kepada empat slot. Mengajar dengan tema anggota badan berpandukan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Sebelum mula mengajar, saya berkenal-kenalan terlebih dahulu dengan kanak-kanak. Saya mengendalikan kanak-kanak yang berumur 5 tahun. Seramai 15 orang kanak-kanak di dalam kelas yang sempit itu. Terkejut saya melihat saiz kelas yang kecil dan mungkin ada baiknya juga untuk kawalan kelas kerana guru boleh memerhati tingkah kanak-kanak.

Jadinya saya mula mengajar dan diperhatikan oleh beberapa orang kakitangan di sana. Do I care?. Saya sudah bersedia untuk menerima sebarang komen dan kritikan selepas sahaja sesi pengajaran itu selesai. Pengalaman ini seperti semasa saya menjalani latihan mengajar di Selangor suatu ketika dulu kerana diperhatikan oleh penyelia semasa mengendalikan kelas.
Selesai sahaja sesi pengajaran, saya dipanggil oleh pengetua tadika untuk masuk ke dalam bilik pengetua bagi sesi refleksi terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan dan juga ulasan berkenaan kanak-kanak.

Saya memberi sekuntum senyuman kepada pengetua tadika itu dan menyatakan bahawa ia suatu pengalaman yang sangat bermakna untuk saya dan nanti bolehlah pengalaman ini saya kongsikan kepada anak cucu di masa hadapan kelak. Pengalaman mengajar kanak-kanak di tadika pada bulan Februari merupakan pengalaman berguna walaupun singkat tetapi banyak input yang saya pelajari, kerana mengendalikan kelas pada awal tahun persekolahan memang mencabar disebabkan kanak-kanak belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka. Malah masih ada kanak-kanak yang menangis teresak-esak awal pagi semasa ibu dan bapa mereka menghantar ke perut kelas!
Pengetua tadika teruja dengan jawapan yang saya berikan kerana dia menceritakan pengalaman lepas, beberapa orang yang hadir sesi temuduga di tadika itu mudah panik apabila berhadapan dengan kanak-kanak sehinggakan ada yang termuntah katanya. Oh begitu dahsyat sekali sehingga termuntah.
Saya lulus temuduga kali ini, namun apa yang mengecewakan saya ialah tarikh yang sepatutnya saya datang bekerja di tadika, seperti yang telah dijanji-janjikan oleh pengetua tadika berakhir di mulut sahaja. Kerana sehari sebelum mula sesi persekolahan, saya ada menghubunginya sama ada saya perlu datang bekerja atau tidak. Mengejutkan saya apabila dia berkata tidak perlu datang kerana mereka sudah ada pekerja baru. Speechless. Saya yakin pekerja tersebut mesti pekerja wanita. Saya ditolak lagi.

Perkongsian pengetua tadika itu ketika saya hadir pada sesi temuduga, dia seringkan menekankan bahawa sekiranya saya diterima bekerja di tadika, hanya saya seorang sahaja lelaki dan terdapat lima orang guru perempuan yang akan berada di tadika itu. Pengetua itu sangat risau dikeranakan saya seorang lelaki, dia risau kerana ia boleh mencurigakan dan menimbulkan fitnah apabila seorang guru lelaki bersama-sama dengan guru perempuan di premis tadika. Mungkin pengetua tadika itu mahu lebih berjaga-jaga dan saya anggap perkara itulah yang membuatkan pengetua tadika itu berubah fikiran. Nampak tak sangat tidak profesional.

Pengalaman 3
OK. Banyak yang hendak saya kongsikan lagi. Saya memohon jawatan kerja di taska dan tadika seperti sudah menjadi satu ketagihan sedangkan saya sudah selalu sangat mendapat penolakan. Tetapi saya tetap tidak mahu berputus asa.
Kali ini, saya meninjau-ninjau laman sesawang beberapa tadika dan taska yang ada di negeri Sabah serta memasuki laman sesawangan JKM Sabah dan mendapat maklumat berkaitan senarai taska yang berdaftar di bawah JKM Sabah. Saya melihat senarai taska yang berdaftar di kawasan Kota Kinabalu mencecah dua ratus. Ini sangat banyak dan saya yakin jumlah taska yang  berdaftar akan terus bertambah lagi. Jadinya saya memuatturun senarai taska yang dilengkapi dengan alamat dan nombor yang boleh dihubungi.

Saya meninjau-ninjau senarai taska itu ketika saya masih menganggur. Saya perlukan pekerjaan bagi mengisi masa dengan perkara yang berfaedah dan menambahkan pengalaman pekerjaan. Saya memilih taska-taska tertentu danterus menghubungi nombor yang disertakan.
“Kamu lelaki minat kerja di taska? Bolehkah?
Di sini saya dipandang rendah oleh pemilik taska itu. Nadanya seperti terkejut kerana saya lelaki yang bertanyakan mengenai ada kekosongan jawatan di taska.

Akhirnya saya mengalah dalam diam dan menerimanya dengan hati dan minda yang terbuka. 


Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...