30 Julai 2017

Kadar Upah Bekerja Di Taska

Pertama kali saya mendapat tawaran bekerja di Childcare Centre pada bulan Mei 2015 yang dikategorikan sebagai taska di tempat kerja. Masyarakat perlu tahu, terdapat empat (4) kategori taska di Malaysia iaitu taska di tempat kerja, taska di rumah, taska di institusi dan taska komuniti dan terbaharu dikenali sebagai TASKOM iaitu taska 1Malaysia.

Taska yang menawarkan pekerjaan kepada saya ini berlokasi di Bangsar South City. Taska yang sangat selesa dan luas. Mempunyai air-cond dan dilengkapi CCTV. Saya memohon jawatan di taska ini melalui Jobstreet.com dan ini pertama kali saya ditemuduga melalui panggilan telefon. Mungkin majikan itu terpanggil untuk menelefon kerana saya berada di negeri bawah bayu yang merentasi Laut China Selatan. Pengalaman ditemuduga melalui panggilan telefon ini merupakan perkara baharu yang saya alami dan semasa ditemuduga saya diarahkan untuk menyanyikan lagu kanak-kanak. Saya menyanyi lagu bahasa Inggeris dalam talian telefon;

make a circle, big, big, big;
make a circle small, small, small

dan lagu;

butterfly; fly, fly, fly a butterfly,
in the meadow is flying,
in the garden is flying low,
 fly, fly, fly a butterfly.

Mungkin majikan menguji kemahiran nyanyian saya, mungkin juga dia mahu menilai keyakinan diri saya, kerana nyanyian merupakan salah satu kemahiran yang perlu ada sekiranya bekerja dengan kanak-kanak di taska.

Pengalaman sewaktu bekerja di taska atau dipanggil childcare centre ini memberi banyak input kepada diri saya. Saya banyak belajar di dalam karier yang didominasi wanita ini. Kanak-kanak di taska terdiri daripada pelbagai kategori umur dan kanak-kanak telah dibahagikan kepada tiga stesen mengikut tahap umur dan perkembangan mereka. Tiga stesen itu yang pertama ialah kategori baby; stesen ini menempatkan bayi yang berusia di bawah 12 bulan. Seterusnya yang kedua ialah stesen toddler, atau dipanggil sebagai kanak-kanak kecil yang berumur dalam lingkungan 2 tahun hingga 3 tahun. Seterusnya stesen yang ketiga ialah big children, yang menempatkan kanak-kanak yang sudah boleh bercakap dalam lingkungan umur 4 hingga 5 tahun. Tetapi dalam stesen big children ini, terdapat juga kanak-kanak yang berumur 3 tahun kerana tahap perkembangannya yang matang melebihi usia sebenar, pihak taska memasukkan dia dalam kategori big children kerana mudah dikawal dan patuh kepada arahan. Ketiga-tiga stesen ini mempunyai tempat dan ruang mereka dan para pengasuh akan bekerjasama berganti-ganti mengikut stesen dalam masa dan jadual yang telah ditetapkan oleh supervisor di taska yang telah dilantik oleh pengetua taska. Mereka mungkin layak menjadi supervisor kerana senioriti mereka yang sudah lama bekerja dalam bidang ini.

Pengalaman yang saya perolehi sewaktu bekerja di taska ialah semakin kecil usia kanak-kanak yang diuruskan itu, semakin tinggi tahap kesabaran yang perlu dicurahkan. Memang kena bertahan sabar. Contohnya menguruskan bayi yang berusia lapan (8) bulan adalah lebih mencabar berbanding menguruskan kanak-kanak yang berusia lima (5) tahun. Ada bayi yang kerap menangis dan apabila situasi ini berlaku, ia merupakan satu cabaran untuk menghentikan mereka. Betul-betul memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya sebagai pengasuh lelaki memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bayi sehingga dua minggu. Kerana apabila saya mendukung bayi, ada yang menangis tidak mahu didukung oleh saya dan nisbah pengasuh dan bayi mengikut standard Jabatan Kebajikan Masyarakaat (JKM) ialah 1:3, iaitu seorang pengasuh menguruskan tiga orang bayi. Tetapi saya kadang-kadang membuat aktiviti bersama 4 hingga 5 orang bayi.  Hali ini kerana tenaga kerja yang tidak mencukupi. Di taska memang perkara biasa pengasuh selalu bertukar-tukar kerana ramai yang berhenti kerja di saat mereka diperlukan. Disebabkan bekerja di taska inilah saya dapat belajar kemahiran bersabar yang tidak mungkin diperolehi di luar sana. Apabila saya ditempatkan di stesen toddler pula, bahagian ini juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Pengasuh yang profesional tidak boleh marah-marah dengan kanak-kanak. Jadinya aktiviti perlu dilakukan supaya kanak-kanak ini dapat dikawal. Acap kali saya mengendalikan sehingga 8 orang kanak-kanak sekaligus, padahal mengikut nisbah standard Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk toddler, 1:5 sahaja. Tahu tidak cukup staf, kenapa tidak cukupkan. Bagaimana kualiti dapat dipertingkatkan sekiranya staf juga tidak mencukupi. Kerana pekerjaaan mengendalikan dan menguruskan kanak-kanak di taska bukanlah perkara enteng.

Berbalik kepada fokus utama ialah berkaitan kadar upah, terus terang saya beritahu, saya menerima upah bekerja di taska yang pertama sebanyak RM 750.00 sahaja, ini upah bekerja selama dua minggu. Bulan seterusnya saya bekerja penuh selama sebulan tidak termasuk hari Sabtu dan Ahad kerana taska ditutup pada hujung minggu dan masa bekerja bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 6.30 petang. Upah saya sebanyak RM 1500.00 untuk sebulan bekerja dan upah yang saya terima itu belum dicarum KWSP kerana saya dalam tempoh percubaan selama tiga bulan pertama. Bulan ketiga bekerja, hujung bulan saya sepatunya menerima sebanyak RM 1500.00 juga, tetapi majikan memberikan saya RM 1000.00 sahaja terlebih dahulu, alasannya wang tidak cukup. Semua upah yang saya terima ini adalah secara tunai dan dimasukkan di dalam sampul. Oh kerja dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan upah hanya RM 1500.00 sahaja?. Upah RM 1500.00 untuk staf yang mempunyai kelayakan akademik Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan jumlah upah itu kurang sesuai sebenarnya kerana ia tidak mencukupi, lagi kos sara hidup di Kuala Lumpur sangat menggila dan ini tidak adil untuk saya. 

Ditambah lagi, bekerja di taska benar-benar memenatkan fizikal dan mental serta memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Saya menahan kesabaran semasa bekerja di taska sehinggalah saya menyedari bahawa betapa mencabarnya mengendalikan dan menguruskan bayi dan kanak-kanak ini. Menelan kepenatan sepanjang hari sehinggakan saya menghubungi ibu saya berkongsi pengalaman ini. Tuhan telah memberi pengalaman kepada saya untuk merasai pengorbanan bagaimana ibu saya menguruskan saya dan adik-beradik yang lain sewaktu kami masih kecil dahulu. Memikirkan perkara ini membuatkan saya menangis semasa menghubungi ibu saya yang pada ketika itu berada di Sabah manakala saya pula berada di Kuala Lumpur. Sesungguhnya kerja-kerja menguruskan kanak-kanak kecil ini merupakan pekerjaan yang mulia kerana tahap kesabaran teruji yang sangat tinggi serta perlu bertabah. Sebab itulah syurga di telapak kaki ibu


Seperti puncak piramid tahap kesabaran itu perlu diletakkan di atas sekali. Jadi harga ilmu dan kelayakan akademik, kesabaran dan keletihan yang dihadam oleh para pekerja di taska hanya dibayar RM 1500.00 bagi pekerja yang mempunyai ijazah. Manakala bagi pekerja yang tidak mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, iaitu yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya mendapat upah sekitar RM 900.00 sahaja. Cukupkah RM 900.00 hidup di Kuala Lumpur?

Kadar upah RM 1500.00 bagi lokasi bandar besar seperti Kuala Lumpur?... Apa yang mengejutkan saya ialah di negeri Sabah kadar upah bekerja di taska hanya sebanyak RM 600.00 sahaja, sumber ini saya perolehi melalui kenalan yang mempunyai pengalaman bekerja di taska selama setahun yang berlokasi di Kota Kinabalu. Tambahan lagi,  dalam Pengalaman 1 yang saya kongsikan, pengetua tadika memberitahu bahawa gaji guru di tadika itu hanya RM 820.00 sebulan. Walaupun ada guru di tadika itu yang sudah bekerja selama 5 tahun! Walaupun guru yang mempunyai kelayakan akademik Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, pengetua tadika tetap memberikan gaji yang sama nilainya dengan guru-guru tadika yang lain yang hanya mempunyai kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Saya speechless, dan perkara ini sebenarnya merupakan salah satu isu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang masih boleh dibincangkan. Isu kadar upah dan gaji dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia sebenarnya tidak selaras. Terdapat perbezaan yang ketara berkaitan kadar upah dan gaji bagi staf yang bekerja di taska dan tadika ini. Bukan saya mahu membanding-bandingkan antara guru-guru yang bekerja di Tabika KEMAS, Tabika Perpaduan, Prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Taska PERMATA Anak Negara. Tetapi adilkah bagi siswazah yang mempunyai kelayakan akademik yang sama dan menerima upah yang tidak setara dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain?

Umum mengetahui bahawa pendapatan di taska dan tadika swasta adalah bergantung kepada jumlah murid yang menyebabkan kadar upah staf yang bekerja di taska dan tadika swasta ini adalah terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan kelayakan akademik mereka. Tetapi tidakkah pihak yang berkenaan memikirkan bagaimana membantu sektor swasta yang membantu memacu pembangunan ekonomi negara dan semakin berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sedangkan skop kerja dan kurikulum yang digunakan mempunyai persamaan dan bermatlamat untuk meningkatkan potensi kanak-kanak. Berikut ialah Kadar Upah di Taska ( Kuala Lumpur ) bagi Tahun 2015***

Tahap Akademik
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) - RM900.00
Diploma                        - RM 1300.00
Ijazah Sarjana Muda            - 1500.00 

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...