Peristiwa
ini berlaku di kedai buku dan benar-benar berlaku di hadapan saya.
Insiden ini berlaku ketika saya sedang mencari buku cerita kanak-kanak untuk dijadikan sebagai koleksi saya.
Seorang
wanita yang masuk di kedai buku dari pintu belakang bersama anak perempuannya
yang jika dilihat dari saiz fizikal dan pertuturannya seperti kanak-kanak yang
berumur tujuh (7) tahun.
Kebetulan
di dalam kedai buku mempunyai banyak rak buku dan saya berdiri
di hadapan rak buku cerita kanak-kanak.
Kanak-kanak
perempuan itu berdiri di sebelah saya, ketinggiannya di aras pinggang saya. Dia
tanpa menghiraukan orang sekeliling, membelek buku cerita yang ada. Seperti
syurga baginya, dia tertarik dengan buku-buku itu. Dia membaca dengan lancar.
Kanak-kanak
itu berkata kepada emaknya.
“Mak,
saya mahu beli buku ini.”
“Hey,
tidak payah, kamu tidak pandai membaca.” Kata emaknya.
Tetapi
saya mendengar jelas kanak-kanak itu membaca perkataan yang terdapat pada buku cerita itu. Dia sudah mahir membatangkan
perkataan. Dia membaca dengan baik. Perkembangan bahasa dan literasi yang
cukup cemerlang.
Berbalik
kepada respon emaknya, sepatutnya dia tidak harus berkata begitu kepada
anaknya. Itu adalah keterlaluan. Saya berfikir, begitukah cara pendidikan anak yang dipraktikkan di rumah?
Semua
pun TIDAK BOLEH.
Anak-anak
bukanlah robot yang perlu dikawal begitu. Mereka juga manusia yang ada potensi diri.
Ada
baiknya emak itu pergi mendekati anaknya membaca buku bersama-sama. Biarlah ada
penglibatan walau 60 saat sahaja. Tidak mengapa. Setiap masa yang diluangkan itu sangat bermakna untuk anaknya. Beri respon yang baik kepada anak. Kalau wang tidak mencukupi, si ibu perlu berterus terang dan memberi alasan yang jelas.
Elakkan
kata-kata negatif kepada anak. Perlu ada panduan yang terarah dalam mendidik anak.
Perlu mengikut situasi bukan hati. Ingat, apabila kata-kata negatif dicurahkan kepada
anak-anak, ia akan melekat dalam diri mereka dan mereka akan membesar dengan “bantahan”
bukan penerimaan. Cara pendidikan seperti itu akan memberi kesan kepada anak-anak.