3 Februari 2018

Kanak-Kanak Berkeperluan Khas


Pada Januari 2015 sehingga April 2015. Saya mendapat tawaran untuk menjadi guru ganti.
Hari pertama tiba di sekolah, saya terus berjumpa dengan penolong kanan pentadbiran iaitu Cikgu H. Saya terkaku apabila dia memberitahu saya sebenarnya sebagai guru ganti untuk kelas pendidikan khas. Kerana guru yang cuti bersalin itu sebenarnya ialah guru pendidikan khas. Saya terkaku kerana pada surat tawaran tidak dinyatakan dengan spesifik.

Pada mulanya saya sangat risau, kerana saya tidak ada pengalaman bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas, tetapi saya mempunyai sedikit pendedahan kerana projek imliah yang saya kaji semasa di belajar di universiti ada kaitan dengan kanak-kanak berkeperluan khas iaitu autisme. Selain itu juga, saya pernah menjadi sukarelawan reader kepada pelajar buta di universiti selama dua tahun. Jadi saya sudah mempunyai bekalan kesediaan berhadapan dengan pelajar berkeperluan khas ini.  

Guru-guru pendidikan khas pada masa itu hanya tinggal dua orang sahaja dan seorang pembantu pengurusan murid. Guru pendidikan khas yang dipanggil dengan gelaran Cikgu P memberitahu saya bahawa guru ganti sebelum ini hanya dapat bertahan sehari sahaja. Selepas itu dia berhenti. Kerana mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini sangat mencabar, tidak seperti mengendalikan kanak-kanak di kelas aliran perdana. Mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan perlu terbuka untuk menerima mereka seadanya.

Dengan kesabaran dan keberanian, saya teruskan sehingga tamat tempoh berkhidmat seperti yang sudah dinyatakan di dalam surat tawaran. Saya mengendalikan kelas Tahun 1 Rose yang dihuni oleh empat orang kanak-kanak, iaitu As (sindrom Down), Marl (Autisme), Juh (Autisme + Masalah Pembelajaran), Aud (Masalah Pembelajaran). Tahap perkembangan mereka berbeza-beza dan sebagai guru yang mengendalikan mereka saya perlu bersabar. Seorang kanak-kanak seperti mengendalikan lima puluh orang kanak-kanak. Inilah umpama dan gambaran yang dapat saya catatkan sebagai menerangkan bahawa begitu mencabar sekali mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

As kanak-kanak dengan sindrom Down sering membuat halnya sendiri. Tidak pernah bersuara dan dia tidak memberi penglibatan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak seperti dia perlu dikendalikan secara individu. Saya pernah keluar lari dari kelas, kerana takut dengan As, disebabkan emosi dia berubah menjadi agresif, dia mahu memukul saya, dia mengoyakkan kertas-kertas yang ada di dalam kelas, dia mengambil beg saya. Tiba-tiba menjadi begitu, ini pengalaman pertama saya mengalami situasi begini. As juga pernah lari dari kelas, dan dia mengintip di tandas guru perempuan sehinggakan guru tersebut menjerit. Suatu perasaan berbeza saya rasai. Mereka mempunyai sikap dan perwatakan yang begitu unik. Pendekatan dan cara untuk berinteraksi dengan mereka juga berbeza. Tetapi kuncinya, kesabaran.

Marl, kanak-kanak dengan gangguan Autisme. Dia kerap duduk di bawah meja, tiba-tiba menangis, tiba-tiba ketawa. Marl boleh menulis dan boleh belajar bahasa Inggeris. Dia boleh melibatkan diri dalam sesi pembelajaran. Suka bermain tanah liat. Daripada tanah liat itu, dia boleh menghasilkan pelbagai objek yang pernah dia lihat. Saya begitu teruja kerana pernah nampak dia membuat seekor katak yang sangat kecil menggunakan tanah liat, katak tersebut seperti katak yang hidup. Dia begitu berbakat dan mempunyai kemahiran motor halus yang baik. Nampaknya dia perlukan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) yang khas.

Juh. Dia satu-satunya kanak-kanak perempuan yang ada di dalam kelas pendidikan khas. Kanak-kanak dengan Autisme + Masalah Pembelajaran. Air liur banyak keluar daripada mulutnya sehingga guru melekatkan sapu tangan pada dadanya dengan pin. Apa yang mengejutkan saya, Juh boleh menyanyi lagu Korea yang bertajuk ‘Come Back Home’ daripada kumpulan 2NE1. Dia menyanyi tetapi sebutan tidak begitu jelas, tetapi memang lagu itu  yang saya dengar. Saya tersenyum dan terharu.

Aud pula kanak-kanak dengan masalah pembelajaran. Kanak-kanak ini boleh dibawa berbual dan dia suka bercakap. Jika dilihat secara lahiriah, dia seperti kanak-kanak normal. Tetapi dalam pembelajaran akademik, dari sana kita ada dapat melihat dia mengalami kesukaran. Saya pernah memperkenalkan huruf kepada Aud, tetapi selepas 10 saat sahaja dia sudah lupa walaupun sudah diulang-ulang. Saya sabar.

Di pusat pendidikan khas ini juga mempunyai dua orang adik-beradik lelaki kembar yang hiperaktif di kelas Tahun 2. Mereka juga nampak seperti normal secara lahiriahnya, tetapi mereka sebenarnya hiperaktif, yang tidak boleh duduk diam di dalam kelas dan pernah saya nampak seorang kanak-kanak hiperaktif itu memakan pemadam. Oh Tuhan tolong aku. Mereka juga terlalu aktif bercakap, kerap membawa suasana bising di dalam kelas. Memang kena bersabar.

Dalam kurikulum pendidikan khas, kanak-kanak tidaklah ditekankan kepada akademik semata-mata, banyak dilatih berkaitan kemahiran pengurusan diri. Contoh kemahiran bantu diri yang mereka lakukan ialah seperti menggunakan tandas, menjaga kebersihan diri dan berkebun. Mereka juga banyak aktiviti di luar kelas.


Selama tiga bulan saya bersama dengan kanak-kanak berkeperluan khas di sekolah, apa yang saya pelajari ialah sebagai guru yang mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas, kita perlu mempunyai ilmu, sabar, berani, dan suka kepada cabaran. Kanak-kanak berkeperluan khas juga memerlukan kasih sayang. Jadi sebagai guru, kita perlu menyalurkan kasih sayang tersebut dengan cara yang sesuai untuk mereka.

Tiada ulasan:

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...