2 Februari 2018

Kisah Zulimah

Disebabkan saya berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ia telah membawa saya bertemu dengan Zulimah. Wanita yang berasal dari Pitas, Sabah. Kulitnya putih dan berkaca mata. Zulimah ialah pelajar saya. Dia berusia 40 tahun pada tahun ini (2018). Pertama kali saya mempunyai pelajar yang umur lebih dewasa. Ini merupakan pengalaman yang bermakna untuk saya, kerana saya dapat belajar menggunakan pendekatan pengajaran yang lebih sesuai untuk peringkat umur seperti itu. Kerana sebelum ini audiens saya ialah hanya kanak-kanak sahaja.

Zulimah bekerja sebagai pembantu guru di sebuah tadika badan bukan kerajaan. Pada mulanya saya anggapkan dia seorang guru, tetapi tekaan saya salah. Apa yang membuatkan saya begitu teruja untuk menulis mengenainya kerana beliau begitu bersemangat untuk menyambung pendidikan pada peringkat ijazah sarjana muda dalam program pendidikan awal kanak-kanak pada usia 40 tahun.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut, saya sebenarnya bekerja sebagai tutor separuh masa atau dalam bahasa Inggeris part-time tutor di sebuah institusi pendidikan. Saya membimbing pelajar yang belajar dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Jadi di sinilah saya bertemu dengan Zulimah sebagai pelajar paling dewasa pernah saya kendalikan.

Ketika mula-mula saya menyambung pengajian dalam program pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Malaya, saya hanya melihat bahawa audiens yang akan saya hadapi nanti ialah hanya kanak-kanak sahaja. Begitu sempit sekali ruang pemikiran saya pada masa itu. Tetapi setelah tamat pengajian, dan misi untuk mencari pekerjaan telah membuka ruang pemikiran saya bahawa saya boleh cuba memohon menjadi tenaga pengajar di institusi yang menawarkan program dalam pendidikan awal kanak-kanak. Jadi dari detik ini barulah ruang pemikiran saya terbuka.

Setelah saya berusaha menghantar resume ke beberapa institusi yang menawarkan program pendidikan awal kanak-kanak, akhirnya ada institusi yang berkenan untuk mempelawa saya bekerja dengan mereka. Terima kasih untuk itu.

Cukup untuk itu, saya perlu kembali kepada cerita Zulimah tadi.

Mengapa saya mengatakan Zulimah seorang yang bersemangat untuk belajar. Kerana dia merupakan pelajar yang pertama kali berhubung dengan saya melalui e-mel. Beliau bersungguh-sungguh mahu berguru dengan saya. Daripada e-mel beliau yang saya baca, dia betul-betul ikhlas untuk meminta bimbingan dan tunjuk ajar dari saya.

“ Selamat petang encik, saya Zulimah, saya betul-betul memerlukan bantuan untuk membuat tugasan. Tolong bimbing saya...”

Itulah mesej yang dia hantar melalui e-mel sebelum kelas bermula. Dia juga merupakan pelajar yang paling awal sampai di kelas. Kerana saya mendapati pelajar untuk subjek yang saya ajar sepatutnya terdapat tiga orang pelajar. Tetapi hanya Zulimah sahaja yang hadir pada setiap kali kelas saya sehinggakan akhir semester.

Semasa di kelas, saya bertanya kepada Zulimah adakah dia yang menghantar e-mel kepada saya, cuma untuk kepastian sahaja.  Ya dia kata dia yang hantar e-mel itu. Baiklah, tidak mengapa.
Rupanya dia mempunyai tahap kerisauan yang agak tinggi, disebabkan subjek yang saya ajar pernah diambil pada semester sebelumnya dan dia gagal untuk subjek tersebut disebabkan markah tugasan tidak memuaskan. Saya amat terkejut sekali mendengar perkara ini.

Dia sepatutnya tidak wajar diperlakukan begini. Tutor sebelumnya adalah tutor yang berlainan. Bukan saya.

Tetapi perkara yang amat membimbangkan ialah Zulimah mempunyai masalah kekurangan perbendaharaan kata bahasa Inggeris menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk membuat persembahan penulisan tugasan yang secara total menggunakan bahasa Inggeris, begitu juga soalan peperiksaan perlu dijawab secara total dalam bahasa Inggeris. Nota-nota yang saya paparkan juga semua dalam bahasa Inggeris, sehinggakan saya terpaksa menerangkan dan terjemahkan kepada bahasa Melayu, agar Zulimah dapat memahami apa yang saya sampaikan.

Saya sentiasa memberi kata-kata positif dan galakan kepadanya supaya berusaha lebih dan menekankan bahawa umur bukan penghalang untuk mendapatkan ilmu.

Jadi, daripada kisahnya itu, saya membimbing dia dengan cara teliti agar dia mendapat mengumpul markah yang baik untuk tugasan sebanyak 50 markah. Dengan bimbingan saya, Zulimah mendapat 33/50...! Ia suatu pencapaian yang selamat untuk beliau. Bukan mudah untuk mendapatkan markah tugasan yang begitu memuaskan. Hal ini demikian, kerana skrip tugasan disemak di Kuala Lumpur dan bukan tutor yang mengajar subjek itu yang menyemak dan memberi markah tugasan.

Berita gembira yang saya dapat daripada Zulimah ialah dia lulus untuk subjek tersebut dan tidak perlu repeat lagi. Saya sangat gembira kerana dia berjaya lulus kerana usaha serta semangatnya untuk belajar.

Tetapi ada perkara yang membuatkan saya sedikit rasa sedih...

Zulimah berharap saya kembali mengajar semula di institusi tempat beliau belajar kerana saya sudah berhenti bekerja di sana. Apa pun dia masih pelajar saya dan saya masih guru dia. Saya pesan kepada dia, sekiranya terdapat pertanyaan berkaitan akademiknya, boleh saja terus berhubung dengan saya sama ada melalui telefon atau e-mel.

Dan saya berharap saya masih berpeluang berjumpa dengan pelajar yang dewasa sebaya Zulimah ini di masa akan datang dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka supaya mencintai ilmu.


Tiada ulasan:

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...