10 Februari 2018

Kanak-Kanak Skrin 2.0

4 Februari 2018 (Ahad)...

Tarikh ini bukanlah tarikh yang istimewa bagi saya. Tetapi tarikh ini merupakan jadual tutorial saya bersama pelajar. Di samping saya berbincang dengan pelajar mengenai topik subjek, saya juga sebenarnya belajar dan mendapat ilmu daripada mereka. Saya sangat bertuah berada di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, kerana saya dapat berjumpa dan bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan pelajar yang majoritinya ialah golongan ibu yang mempunyai anak dan juga kakitangan yang bekerja dengan kanak-kanak.

Jadi saya sebagai lelaki, sebenarnya memperolehi input yang berguna dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak kerana pengalaman menguruskan anak yang dikongsikan benar-benar meluaskan perspektif saya. Inilah yang dinamakan proses pembelajaran tidak akan pernah berhenti, kerana setiap saat kita akan belajar dan mempelajari perkara baharu.

Puan Siti, berumur 35 tahun merupakan pelajar saya. Beliau sedang berjuang menyiapkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sebuah institusi pendidikan swasta. Beliau sudah berpengalaman bekerja selama 10 tahun sebagai Pembantu Pengurusan Murid di prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu kepada dua orang anak lelaki yang masing-masing berusia 9 tahun dan 7 tahun.

Sebelum ini saya pernah berkongsikan entri mengenai ‘Kanak-Kanak Skrin 1.0’. Entri kali ini mungkin antara salah satu solusi bagaimana mendedahkan kanak-kanak dengan teknologi di bawah kawalan dan pengawasan ibu bapa. Peranan sebagai ibu bapa adalah sangat signifikan dalam sesebuah institusi keluarga kerana ia memberi pengaruh terhadap pembentukan sikap dan kendiri anak-anak. Betapa pentingnya ilmu keibubapaan untuk dipraktikkan kepada anak-anak di rumah.

Perkongsian tips Puan Siti bagaimana beliau memberi pendedahan teknologi kepada anak-anaknya begitu menampakkan saya bagaimana teknik yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa di rumah.
Daripada perkongsian pengalaman Puan Siti, saya mendapati bahawa Puan Siti merupakan seorang ibu yang demokratik, iaitu memberi peluang kepada anak-anak meneroka dengan bermain permainan menggunakan teknologi tetapi dengan kawalan yang telah ditetapkan olehnya. Pertama, Puan Siti membelikan hanya sebuah telefon pintar untuk anak-anaknya bermain game dan dengan sebuah telefon pintar itulah anak-anaknya berkongsi secara silih ganti untuk bermain game. Kedua, Puan Siti sudah menetapkan masa untuk bermain game pada hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hal ini demikian kerana hari Isnin sehingga Jumaat anak-anaknya sibuk bersekolah dan pada malamnya Puan Siti menghantar mereka ke kelas mengaji. Jadi hari Sabtu dan Ahad merupakan ‘masa emas’ untuk anak-anaknya bermain game. Ketiga, Puan Siti sengaja membelikan sebuah telefon pintar sahaja, agar anak-anaknya dapat belajar bagaimana untuk bekerjasama dan bersabar menunggu giliran untuk bermain. Dengan sebuah telefon pintar, hubungan anak-anaknya juga dapat dieratkan kerana mereka dapat berkongsi bermain dan komunikasi aktif juga masih wujud antara mereka berdua semasa bermain game. Keempat, Puan Siti memberikan telefon pintar kepada anak-anaknya untuk bermain sepuas-puasnya pada hari Sabtu dan Ahad dan sekiranya telefon pintar itu kehabisan bateri, permainan akan terhenti setakat itu sahaja dan Puan Siti tidak akan mengecas telefon pintar itu. Jadi ternyata nampak kesinambungan antara keempat-empat tips yang dikongsikan oleh Puan Siti.
Itulah cara bagaimana tindakan kawalan dan pengawasan yang dipraktikkan oleh Puan Siti di rumah. Saya sangat teruja dengan teknik yang digunakan oleh Puan Siti kerana dia memberi peluang kepada anak-anaknya bermain game menggunakan telefon pintar seperti kanak-kanak yang lain juga, tetapi dengan kawalan yang rapi dan sistematik. Ini bermakna, dia tidak memberi kebebasan secara total kepada anak-anakanya. Di sini jelas bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam menguruskan anak-anak di rumah.

Sebagai Pembantu Pengurusan Murid di prasekolah, Puan Siti juga menceritakan kepada saya bahawa terdapat seorang kanak-kanak prasekolah di tempat kerjanya yang sudah memakai kaca mata disebabkan mata sudah rosak! Sebab apa rosak? Ibu kepada kanak-kanak tersebut memberitahu Puan Siti, mata anaknya rosak disebabkan terlalu berhadapan dengan telefon pintar. Begitu peri pentingnya peranan ibu dalam mengawal anak-anak yang terdedah dengan teknologi. Sekiranya ibu malah memberi lampu hijau kepada anak-anak sehingga mata anak sudah rosak pada usia kecil lagi, adakah anda rasa tindakan ibu itu sesuai untuk dipraktikkan?



Tiada ulasan:

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...