15 Februari 2018

Keperluan Kurikulum PERMATA

Kurikulum PERMATA di Malaysia merupakan kurikulum yang diaplikasikan di dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak iaitu di taska.
Saya tidak pernah mendapat pendedahan yang mendalam mengenai kurikulum PERMATA kerana semasa berkuliah di universiti, subjek khas untuk kurikulum PERMATA tidak ada!

Ketika saya menuntut di Universiti Malaya, hanya seorang pensyarah sahaja yang menyentuh sedikit mengenai kurikulum PERMATA. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi pendedahan awal kepada saya.

Sebagai siswazah bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, saya rasa sangat kekurangan kerana tidak mempunyai asas yang kukuh mengenai kurikulum PERMATA. Saya mengutarakan isu ini kerana sudah tiba masanya semua kolej dan universiti di Malaysia melakukan transformasi dalam program Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk menjadikan Kurikulum PERMATA sebagai subjek teras bagi syarat penganugerahan sijil diploma dan ijazah. Kerana pengetahuan berkaitan kurikulum PERMATA adalah untuk melahirkan pendidik yang efektif di dalam persekitaran awal kanak-kanak.

Seperti saya sendiri, saya mendaftar untuk menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA selepas sudah bergraduasi. Itupun melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi kepercayaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM)untuk mengendalikan kursus tersebut.

Adalah tidak lengkap sekiranya siswazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tidak mendapat latihan dan kursus berkaitan Kurikulum PERMATA.
----------------------------------------------------------
Rakan saya yang juga merupakan siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari UPSI ada memberitahu saya berkaitan kursus PERMATA.

“Di UPSI, kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ada ditawarkan, cuma diutamakan untuk pelajar-pelajar senior.”

Sepatutnya pihak UPSI perlu memberi peluang kepada semua pelajar tanpa melihat status junior atau senior. Agar nanti tidak ada pelajar yang kempunan untuk mengikuti kursus tersebut. Lebih dahsyat lagi di Universiti Malaya Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak tidak diadakan oleh Fakulti Pendidikan.

Manakala, rakan saya yang pernah menuntut di UNITAR cawangan Kuala Lumpur dan cawangan Kota Kinabalu yang merupakan siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak juga belum pernah menyertai kursus Kurikulum PERMATA sehinggalah mereka bergraduasi. Apabila mereka bekerja sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred41 di Pusat PERMATA Negara, barulah mereka diarahkan untuk menghadiri kursus tersebut.

Begitu juga rakan sekumpulan saya semasa menyertai kursus iaitu siswazah dari UNISEL, juga tidak didedahkan mengenai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ketika menuntut di UNISEL. Kami menyertai kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA di bawah kendalian badan bukan kerajaan di negeri Sabah iaitu Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah.

Nampak jelas di sini, ramai siswazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari pelbagai institusi cuba jaya menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA Selepas sudah bergraduasi. Adalah lebih produktif sekiranya semua graduan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Malaysia telah selesai menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA sebelum hari konvokesyen.
----------------------------------------------------------
Untuk pengetahuan umum, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ini adalah dibawah penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia melalui kolej dan universiti perlu mencari titik kolaborasi dengan JKMM untuk memasukkan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA sebagai subjek teras di dalam kuliah. Kerana di dalam kursus tersebut para pelajar akan diperkenalkan mengenai komponen-komponen dalam kurikulum PERMATA, dilatih bagaimana membina Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) dan para peserta perlu menjalani amali selama lima hari di taska dengan penyeliaan daripada mentor/jurulatih PERMATA. 

Matlamat hanya satu sahaja, melatih bakal pendidik mempunyai kompetensi. 

Tiada ulasan:

Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...