Disebabkan
saya berkecimpung dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, ia telah membawa
saya bertemu dengan Zulimah. Wanita yang berasal dari Pitas, Sabah. Kulitnya putih
dan berkaca mata. Zulimah ialah pelajar saya. Dia berusia 40 tahun pada tahun
ini (2018). Pertama kali saya mempunyai pelajar yang umur lebih dewasa. Ini merupakan
pengalaman yang bermakna untuk saya, kerana saya dapat belajar menggunakan pendekatan
pengajaran yang lebih sesuai untuk peringkat umur seperti itu. Kerana sebelum ini
audiens saya ialah hanya kanak-kanak sahaja.
Zulimah
bekerja sebagai pembantu guru di sebuah tadika badan bukan kerajaan. Pada
mulanya saya anggapkan dia seorang guru, tetapi tekaan saya salah. Apa yang
membuatkan saya begitu teruja untuk menulis mengenainya kerana beliau begitu
bersemangat untuk menyambung pendidikan pada peringkat ijazah sarjana muda
dalam program pendidikan awal kanak-kanak pada usia 40 tahun.
Sebelum
saya bercerita lebih lanjut, saya sebenarnya bekerja sebagai tutor separuh masa
atau dalam bahasa Inggeris part-time
tutor di sebuah institusi pendidikan. Saya membimbing pelajar yang belajar
dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Jadi di sinilah saya bertemu dengan
Zulimah sebagai pelajar paling dewasa pernah saya kendalikan.
Ketika
mula-mula saya menyambung pengajian dalam program pendidikan awal kanak-kanak
di Universiti Malaya, saya hanya melihat bahawa audiens yang akan saya hadapi
nanti ialah hanya kanak-kanak sahaja. Begitu sempit sekali ruang pemikiran saya
pada masa itu. Tetapi setelah tamat pengajian, dan misi untuk mencari pekerjaan
telah membuka ruang pemikiran saya bahawa saya boleh cuba memohon menjadi
tenaga pengajar di institusi yang menawarkan program dalam pendidikan awal
kanak-kanak. Jadi dari detik ini barulah ruang pemikiran saya terbuka.
Setelah
saya berusaha menghantar resume ke beberapa institusi yang menawarkan program pendidikan
awal kanak-kanak, akhirnya ada institusi yang berkenan untuk mempelawa saya bekerja
dengan mereka. Terima kasih untuk itu.
Cukup
untuk itu, saya perlu kembali kepada cerita Zulimah tadi.
Mengapa
saya mengatakan Zulimah seorang yang bersemangat untuk belajar. Kerana dia merupakan
pelajar yang pertama kali berhubung dengan saya melalui e-mel. Beliau bersungguh-sungguh
mahu berguru dengan saya. Daripada e-mel beliau yang saya baca, dia betul-betul
ikhlas untuk meminta bimbingan dan tunjuk ajar dari saya.
“ Selamat petang encik, saya Zulimah,
saya betul-betul memerlukan bantuan untuk membuat tugasan. Tolong bimbing saya...”
Itulah
mesej yang dia hantar melalui e-mel sebelum kelas bermula. Dia juga merupakan pelajar
yang paling awal sampai di kelas. Kerana saya mendapati pelajar untuk subjek yang
saya ajar sepatutnya terdapat tiga orang pelajar. Tetapi hanya Zulimah sahaja yang
hadir pada setiap kali kelas saya sehinggakan akhir semester.
Semasa
di kelas, saya bertanya kepada Zulimah adakah dia yang menghantar e-mel kepada saya,
cuma untuk kepastian sahaja. Ya dia kata
dia yang hantar e-mel itu. Baiklah, tidak mengapa.
Rupanya
dia mempunyai tahap kerisauan yang agak tinggi, disebabkan subjek yang saya ajar
pernah diambil pada semester sebelumnya dan dia gagal untuk subjek tersebut disebabkan
markah tugasan tidak memuaskan. Saya amat terkejut sekali mendengar perkara ini.
Dia
sepatutnya tidak wajar diperlakukan begini. Tutor sebelumnya adalah tutor yang berlainan.
Bukan saya.
Tetapi
perkara yang amat membimbangkan ialah Zulimah mempunyai masalah kekurangan perbendaharaan
kata bahasa Inggeris menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk membuat persembahan
penulisan tugasan yang secara total menggunakan bahasa Inggeris, begitu juga soalan
peperiksaan perlu dijawab secara total dalam bahasa Inggeris. Nota-nota yang saya
paparkan juga semua dalam bahasa Inggeris, sehinggakan saya terpaksa menerangkan
dan terjemahkan kepada bahasa Melayu, agar Zulimah dapat memahami apa yang saya
sampaikan.
Saya
sentiasa memberi kata-kata positif dan galakan kepadanya supaya berusaha lebih dan
menekankan bahawa umur bukan penghalang untuk mendapatkan ilmu.
Jadi,
daripada kisahnya itu, saya membimbing dia dengan cara teliti agar dia mendapat
mengumpul markah yang baik untuk tugasan sebanyak 50 markah. Dengan bimbingan saya,
Zulimah mendapat 33/50...! Ia suatu pencapaian yang selamat untuk beliau. Bukan
mudah untuk mendapatkan markah tugasan yang begitu memuaskan. Hal ini demikian,
kerana skrip tugasan disemak di Kuala Lumpur dan bukan tutor yang mengajar subjek
itu yang menyemak dan memberi markah tugasan.
Berita
gembira yang saya dapat daripada Zulimah ialah dia lulus untuk subjek tersebut dan
tidak perlu repeat lagi. Saya sangat gembira
kerana dia berjaya lulus kerana usaha serta semangatnya untuk belajar.
Tetapi
ada perkara yang membuatkan saya sedikit rasa sedih...
Zulimah
berharap saya kembali mengajar semula di institusi tempat beliau belajar kerana
saya sudah berhenti bekerja di sana. Apa pun dia masih pelajar saya dan saya masih
guru dia. Saya pesan kepada dia, sekiranya terdapat pertanyaan berkaitan akademiknya,
boleh saja terus berhubung dengan saya sama ada melalui telefon atau e-mel.
Dan
saya berharap saya masih berpeluang berjumpa dengan pelajar yang dewasa sebaya Zulimah
ini di masa akan datang dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka supaya
mencintai ilmu.