Sewaktu
saya berumur sekitar usia 3-4 tahun, bapa saya kerap membawa saya ke
perpustakaan di pekan setiap kali hujung minggu. Tujuannya untuk mendekatkan saya
dengan buku dan membiasakan saya dengan buku. Pada ketika itu sekitar tahun 1990-an,
alat pendidikan pertama yang saya sentuh ialah buku!
Saya
sangat gembira apabila dapat meminjam buku dan membawa pulang buku itu untuk
dibaca di rumah. Walaupun pada ketika itu, saya tidak kenal huruf lagi, baca pun
tak tahu, hanya tengok gambar saja, tetapi saya boleh memahami jalan cerita daripada
gambar tersebut.
Apabila
saya dihantar ke tadika, saya mudah mengenal huruf-huruf yang diperkenalkan
oleh guru tadika kerana sudah mempunyai pengalaman pra-literasi sebelum ke
tadika. Saya sangat berterima kasih dengan bapa saya kerana memberi pendedahan awal
kepada saya sejak dari kecil lagi. Bapa saya seorang yang mempraktikkan budaya
membaca di rumah, buktinya sejak saya tadika sehingga sekolah menengah
beliau tidak pernah berhenti membeli surat khabar, setiap hari dia akan beli surat
khabar baharu dan bawa balik ke rumah untuk dibaca. Saya akan belek surat khabar
itu selepas dia habis menghadamnya. Kadang-kadang nakal juga, saya buat kapal...
Kerana surat khabar itu sangat banyak, tebal dan terbiar begitu sahaja.
Selain surat khabar, bapa saya juga banyak membeli bahan bacaan versi dewasa, seperti
majalah wanita, buku keagamaan, buku motivasi dan tidak lupa juga bahan bacaan
politik. Bahan bacaan itu sangat banyak sehinggakan rumah jadi seperti ‘perpustakaan mini’. Saya panggil
ia sebagai pusat sumber. Kerana sewaktu sekolah rendah dulu, saya pernah dilantik
menjadi pustakawan sekolah dan bertugas di pusat sumber yang banyak buku tersusun
rapi pada rak yang disediakan. Saya ingat lagi, saya pernah tertangkap oleh
cikgu di sekolah kerana membawa buku tahap dewasa, cikgu kata"kamu masih
sekolah rendah tidak boleh baca buku ini," tetapi cikgu perlu ingat kanak-kanak
meneroka ilmu melalui pembacaan. Kenapa perlu menghalang benda positif?
Ketika saya berumur 14
tahun, bapa saya hadiahkan sebuah novel sastera terulung yang berjudul ‘Tenggelamnnya Kapal Van Der Wijck’
karya HAMKA, 286 halaman. Cetakan Kedua; 2004. Isi kandungan novel itu sangat
menusuk sehingga berjaya memecahkan empangan air mata saya. Sehingga sekarang
saya masih simpan novel itu.
Bapa
saya benar-benar memainkan peranan dan menunjukkan role model kepada saya dalam menceburi bidang pembacaan ini sejak
saya dari kecil sehingga kini. Dia tidak putus-putus membaca sehingga dia boleh
ceritakan semula apa yang dia telah baca. Pengalaman ini telah banyak membantu
diri saya dalam aspek pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dalam aspek penulisan dan pengejaan,
kerana pendedahan sejak dari kecil yang konsisten.
Pendedahan
kepada buku sejak dari kecil, telah membantu pembelajaran saya di sekolah dan
tidak mempunyai masalah dalam subjek bahasa, terutamanya bahasa Melayu, kerana
itu juga saya mendapat skor Bahasa Melayu/Malaysia yang cemerlang sewaktu di sekolah dulu. Bukan saya masuk bakal, angkat sendiri, tapi saya cuma berkongsi bagaimana ia menjadi tanpa kelas tuisyen.
Oleh
kerana budaya membaca itu sudah menjadi kebiasaan, saya menjadi lebih
yakin apabila berhadapan dengan buku. Pada usia 18 tahun dan 19 tahun, saya
selalu ke kedai buku membeli majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Antara genre majalah DBP yang saya gemar ialah Dewan Sastera dan Dewan Siswa. Saya
beli majalah yang sudah dilelong ! 1 Ringgit Malaysia senaskah. Tak
perlu beli mahal-mahal. Hal ini demikian kerana kita boleh mendapat ilmu daripada
pembacaan dan ilmu tidak akan pernah habis untuk diterokai.
Mulai tamat persekolahan, saya sudah berani membeli buku secara atas talian, antara genre yang paling gemar saya beli pada ketika ini ialah genre Indie dan motivasi.
Jadi
kesimpulannya di sini, memupuk minat dan budaya membaca buku perlulah bermula
dari usia kecil lagi, sebab itu dalam kurikulum pendidikan awal kanak-kanak, aktiviti yang berkaitan dengan perkembangan literasi dan bahasa seperti bercerita, membaca dan menyanyi wajib ada. Secara realitinya, segelintir masyarakat, dia boleh membaca tetapi tidak
mempraktikkan budaya membaca, sehingga dia rasa membaca itu suatu beban, lama-lama
dia menjauh dari buku dan akhirnya budaya membaca buku sudah semakin pudar. Mungkin anda sendiri ada pengalaman yang berbeza, tetapi itu terpulang bagaimana anda mengekalkan minat membaca buku, setiap strategi dan yang pernah diaplikasikan bukan menjadi satu masalah, yang menjadi masalah ialah apabila masyarakat sudah
tidak membudayakan membaca buku lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan