30 Julai 2017

Had & Sempadan Guru Taska Lelaki Di Malaysia

Guru lelaki yang bekerja di taska mempunyai had dan sempadan yang sebenarnya saya tidak pernah diajar semasa berkuliah dalam program Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Sekadar praktikal dan latihan mengajar ia belum mencukupi untuk saya memenuhi kapasiti dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Berdasarkan kepada pengalaman saya, praktikal dan latihan mengajar lebih banyak tertumpu kepada akademik sahaja. Buat banyak rancangan pengajaran dan implementasikan rancangan tersebut sehinggakan peluang untuk meneroka persekitaran di taska terhad. Hanya ikut seperti yang dijadualkan sahaja. Ya, seperti robot yang diprogramkan.

Sudah tiba masanya institusi-institusi yang menawarkan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak memperkenalkan subjek-subjek baharu berkaitan had dan sempadan guru lelaki di  persekitaran kanak-kanak seperti taska dan childcare. Subjek tersebut perlu spesifik dan diperkenalkan tanpa ada keraguan!

Antara cadangan subjek yang perlu diperkenalkan ialah seperti; Deskripsi Tugas Pendidik di Taska, Etika Profesional Pendidik Di Taska dan Pengurusan Persepsi Ibu Bapa dan subjek-subjek tersebut dikaitkan pula untuk guru lelaki dan guru wanita dengan situasi sebenar. Itu lebih praktikal. Cadangan subjek-subjek seperti itu adalah lebih relevan kerana ia benar-benar dapat dipraktikkan di alam pekerjaan kelak. Daripada subjek-subjek itu, ia benar-benar membantu bagi pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang sedang belajar dalam program Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kita perlukan pembaharuan, kita perlu inovasi dan ilmu baru mengikut peredaran masa dan kecanggihan teknologi era ini. Subjek yang sama 15 tahun lepas perlu disemak semula. Adakah ia masih relevan?

Saya mengatakan begini kerana ketika saya bekerja di taska, saya baru mengetahui had dan sempadan guru lelaki yang diberitahu oleh pengurus taska. Antara Had dan Sempadan Guru Taska Lelaki  yang disenaraikan ialah: 
  1. Tidak dibenarkan memandikan kanak-kanak.
  2. Tidak boleh menukar pampers bayi dan kanak-kanak.
  3. Tidak dibenarkan membawa kanak-kanak perempuan ke tandas.
  4. Tidak dibenarkan menjaga kanak-kanak yang sedang tidur tanpa ditemani guru wanita.
Mungkin masih ada had dan sempadan yang saya terlepas pandang, kerana saya lupa mengambil foto memo berkaitan had dan sempadan yang diletakkan di kaunter hadapan taska. Kerana saya menyimpan telefon pintar semasa bekerja dan hanya dapat mencapainya ketika masa rehat dan pulang. 

Sekiranya guru lelaki melanggar had dan sempadan yang telah dinyatakan ia boleh mengundang fitnah kepada guru lelaki yang bekerja dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Jadi pengalaman bekerja di taska benar-benar memberi input yang informatif kepada saya. Walaupun singkat tetapi belajar perkara baru tidak pernah putus-putus.

Antara perkara baru yang saya pelajari semasa bekerja di taska ialah mengenai ukuran auns dalam susu botol kanak-kanak. Sedangkan topik ini tidak pernah saya pelajari dan saya sebenarnya belajar sesuatu daripada kanak-kanak. Apabila saya bercerita mengenai ukuran auns dengan rakan sekerja lama, dia membuat pengakuan bahawa dia sendiri tidak pernah mengetahui perkara itu sedangkan dia adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik. Selain itu, saya juga belajar bagaimana menyuap bayi semasa makan, posisi bayi semasa makan, mendukung bayi dengan cara yang betul, saya juga belajar ilmu baru, iaitu susu badan ibu yang telah dimasukkan dalam botol akan basi selepas dua jam, sekiranya tidak disimpan di dalam peti sejuk. Lagi saya belajar bersabar dan sabar kerana bekerja di taska ini perlukan kesabaran. Kesabaran tahap tinggi. Siapa yang tidak ada kapasiti kesabaran, AWAS! ia membawa bencana besar kepada dirinya!


Bagi anda yang bekerja di taska, kalau tidak pernah terkena najis bayi atau kanak-kanak pada pakaian anda itu tidak sah! Saya sudah melalui semua itu dan ia suatu pengalaman yang sangat menarik bagi saya. Segelintir masyarakat memang memandang rendah kepada mereka yang bekerja di taska, tapi mereka lupa bahawa taska adalah tempat kanak-kanak berkembang. 


Saya cuma ingin katakan di sini, saya masih mahu huraikan lebih lagi tentang had dan sempadan guru lelaki di taska di masa akan datang, kerana topik ini tidak ramai yang  tahu dan tidak ramai yang terfikir mahu menyentuh topik ini, padahal ia adalah perkara yang perlu diketahui dan tidak boleh diambil ringan. 












Salahkah Saya Memilih...

Ramai yang sering bertanya kepada saya berkaitan bidang apa yang saya belajar di universiti. Bila saya beritahu 'pendidikan awal kanak-...